PETALING JAYA: Kira-kira 1.4 juta pengguna vape dijangka kembali kepada rokok konvensional ekoran cadangan kerajaan mahu mengharamkan penjualan dan penggunaan rokok elektronik atau vape jenis sistem pod terbuka yang boleh diisi semula.
Situasi ini menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan awam selain boleh meningkatkan kos rawatan penyakit utama akibat merokok seperti kanser paru-paru dan masalah jantung koronari yang diunjurkan mencecah RM7.4 bilion pada 2025.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati majoriti pengguna vape terdiri daripada bekas perokok yang masih bergantung kepada nikotin dan akan kembali kepada rokok konvensional.
Seorang pelajar Muzamil, 23, berkata, dia memilih vape kerana harganya yang lebih berpatutan selain variasi perisa yang dianggap lebih menarik berbanding rokok.
“Disebabkan sudah ketagih dan vape jadi kebiasaan harian, kalau vape diharamkan saya akan kembali kepada rokok.
“Itu pilihan paling mudah kerana saya sudah terbiasa dengan norma merokok setiap hari,” katanya.
Seorang lagi pengguna vape yang hanya mahu dikenali sebagai Steven berkata, rokok menjadi medium utamanya melepaskan tekanan, justeru ketiadaan vape akan mendorongnya kembali kepada tabiat lama.
“Kalau tak dapat vape, saya perlukan sesuatu yang ada fungsi sama dan bagi saya rokok adalah pilihannya.
“Saya menggunakan kedua-dua vape dan rokok untuk merokok setiap hari, jadi saya masih ada pilihan lain jika vape diharamkan,” katanya.
Semalam, akhbar ini melaporkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kerajaan akan mengharamkan sepenuhnya penjualan dan penggunaan rokok elektronik atau vape jenis sistem pod terbuka yang boleh diisi semula.
Ini berikutan, vape sistem terbuka mudah dimanipulasi kerana pengguna boleh mengisi cecair secara manual, sekali gus membuka ruang kepada penyalahgunaan pelbagai bahan terlarang.
Global Adult Tobacco Survey (GATS) pada tahun 2023 mendedahkan seramai 1.45 juta dewasa di Malaysia menggunakan vape.Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penggunaan tembakau di Malaysia menunjukkan trend penurunan kesan peralihan kepada vape.
Statistik menunjukkan kadar merokok dijangka berkurangan daripada 23.1 peratus pada 2010 kepada 16.1 peratus menjelang 2030, namun dengan langkah pengharaman vape berpotensi menjejaskan ramalan ini kerana ramai pengguna berisiko kembali kepada rokok konvensional.
Seorang lagi bekas perokok yang mahu dikenali sebagai Karim berkata, pengharaman vape bukan satu masalah besar kerana perokok boleh mendapatkan bekalan rokok di pasaran mudah meskipun harganya agak tinggi berbanding vape bagi memenuhi tabiat berkenaan.
“Saya dulu perokok dan beralih kepada vape berperisa buah untuk mengurangkan ketagihan tapi jika diharamkan saya boleh kembali kepada tabiat lama.
“Tak susah pun untuk kembali kepada rokok sebab saya pernah jadi perokok sebelum ini dan vape hanyalah pengganti,” katanya. – UTUSAN










