Zambry mahu teruskan agenda pendidikan tinggi

Zambry mahu teruskan agenda pendidikan tinggi

ZAMBRY ABDUL KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelantikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sebagai senator bagi penggal kedua membolehkan beliau meneruskan agenda pendidikan tinggi yang dirancang.

Dr. Zambry berkata, beliau merakamkan penghargaan kepada kepimpinan kerajaan di atas kepercayaan yang diberikan.

“Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana melanjutkan tugas saya sebagai menteri dan juga senator bagi meneruskan agenda yang ada. Ini satu tanggungjawab yang perlu saya teruskan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi Festival Idea Putrajaya 2025, di sini, hari ini.

Katanya, kesinambungan penggal kedua itu penting bagi memastikan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi serta pelbagai inisiatif lain yang sedang berjalan dapat digerakkan secara konsisten.

“Banyak perkara yang telah dirangka kementerian. Jadi dengan mandat ini, kita boleh meneruskan langkah tanpa perlu bermula semula,” katanya.

Dalam masa sama, Dr. Zambry turut berterima kasih kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mencalonkan beliau untuk meneruskan khidmat sebagai Senator.

Ditanya mengenai portfolio dalam Kabinet, beliau menegaskan masih memegang portfolio sedia ada dan fokusnya kini adalah meneruskan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Setakat ini saya masih sama, saya tidak boleh komen banyak. Apa yang pasti, saya ada tanggungjawab untuk meneruskan tugas saya,” katanya.

Selain Zambry, dua lagi menteri Kabinet mengangkat sumpah di Dewan Negara, hari ini bagi menyambung penggal kedua mereka sebagai senator iaitu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN