SUNGAI GOLOK (THAILAND): Rakyat Malaysia yang melancong di pekan ini dinasihatkan supaya berhati-hati dan tidak terpengaruh dengan pihak tertentu yang meminta derma kononnya untuk tujuan pembangunan kawasan.
Jurucakap Majlis Perbandaran Sungai Golok berkata, kumpulan itu didakwa mengutip derma dengan tujuan memulihkan sektor perdagangan dan menyediakan tempat pelancongan yang berkualiti.
“Majlis Perbandaran Sungai Golok melancarkan operasi khas selepas menerima maklumat awam mengatakan terdapat individu yang meminta derma daripada penduduk tempatan dan pelancong Malaysia.
“Dalam operasi pukul 11 pagi kelmarin, kami menahan seorang lelaki dan wanita masing-masing berusia 17 tahun dan 42 tahun di hadapan sebuah kedai serbaneka di pekan ini yang menjadi pusat tarikan pelancong Malaysia,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Jurucakap itu berkata, hasil siasatan kedua-duanya mengaku meminta derma daripada penduduk tempatan dan pelancong dengan alasan kononnya untuk pelaksanaan projek pembangunan.
Katanya, kedua-duanya diserahkan kepada polis dan akan dituduh atas kesalahan meminta derma di tempat awam tanpa kebenaran. – UTUSAN










