BUTTERWORTH : Seorang wanita dan anak angkat perempuannya rentung dipercayai akibat terperangkap dalam satu kebakaran di sebuah rumah di Taman Teluk Air Tawar di sini, pagi ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 9.41 pagi itu, seorang remaja lelaki iaitu anak kepada wanita terbabit turut cedera akibat dihempap oleh bumbung rumah tersebut.
Katanya, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Hayani Yaakob, 50-an dan Andra yang berusia dalam lingkungan umur antara empat hingga lima tahun manakala remaja yang cedera pula ialah Daniel Quyum Kamarozlan, 20-an.
“Kedua-dua mangsa yang rentung dijumpai berada di ruang tamu berhampiran pintu keluar utama rumah tersebut manakala mangsa yang cedera pula ditemui berada di ruangan dapur,” katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau, api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira pukul 11.21 pagi dan ketika ini, kerja-kerja ‘overhaul’ sedang dijalankan dan maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa.-UTUSAN










