Wakil rakyat DAP persoal klasifikasi kes tembakan di Melaka

Wakil rakyat DAP persoal klasifikasi kes tembakan di Melaka

M. KULASEGARAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis dipersoal kerana tidak segera menyiasat insiden tembakan membabitkan tiga lelaki di Durian Tunggal, Melaka sebagai kes bunuh sejurus kejadian berlaku.

Ahli Parlimen DAP, M. Kulasegaran, meminta polis serta Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan di bawah peruntukan undang-undang mana siasatan asal diklasifikasi dan mengapa ia tidak dimulakan sebagai kes bunuh sejak awal.

Meskipun Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu menyambut baik keputusan AGC yang bersetuju dengan syor Bukit Aman supaya siasatan diklasifikasi semula sebagai kes bunuh, namun menegaskan perkara itu menimbulkan persoalan yang masih belum terjawab.

“Di bawah peruntukan apakah siasatan itu pada asalnya diklasifikasi dan mengapa siasatan bunuh tidak dimulakan sejak awal? Walaupun klasifikasi semula dialu-alukan, kepercayaan orang ramai terhadap institusi hanya dapat dipelihara jika siasatan dijalankan dengan pantas dan menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan.

M. Kulasegaran berkata, polis perlu mempercepatkan siasatan bagi memastikan semua bukti dikumpul dan keterangan saksi direkodkan ketika masih segar.

Beliau berkata hasil siasatan itu penting bagi mengekalkan kepercayaan awam terhadap pihak berkuasa dan memastikan hak golongan terjejas dilindungi.

“Keluarga mangsa tembakan mesti diberi jaminan bahawa siasatan akan mencari punca sebenar kejadian. Kedaulatan undang-undang mesti ditegakkan,” katanya.

Sebelum ini, tiga lelaki terbabit, M. Puspanathan, 21, T. Poovaneswaran, 24, dan G. Logeswaran, 29, ditembak mati oleh polis Melaka yang mendakwa mereka perompak bersiri dan menyerang anggota polis menggunakan parang.

Polis pada awalnya menyiasat sebagai cubaan membunuh, tetapi peguam keluarga mangsa mendakwa bukti forensik dan rakaman audio menunjukkan mereka dibunuh secara ‘execution-style’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN