KUALA LUMPUR: Pelakon, Lorenzo Irman mengakui sedikit kesal dengan nasib yang menimpa kumpulan Dolla berhubung isu pemakaian mencolok mata membabitkan video muzik lagu Question yang diturunkan dari semua platform baru-baru ini.
Lorenzo, 24, berkata hal itu kerana video muzik tersebut merupakan hadiah buat peminat Dolla yang sekian lama menunggu buah tangan terbaharu daripada kumpulan tersebut.
“Peminat mereka menunggu agak lama. Apa lagi selepas sekian lama Dolla tidak muncul dengan lagu dan muzik video terbaru.
“Hasil kerja muzik video itu pada saya, sempurna. Visual dan suntingannya memang cantik.
“Cuma, dalam kesempurnaan, pasti ada khilaf yang berlaku tanpa disedari.
“Ya, saya sedikit kesal dengan apa yang berlaku. Tetapi kita kena ambil kira pandangan orang lain dan hormati keputusan yang telah diambil kerana isu ini berkaitan hal ehwal agama,” katanya yang ditemui di Astro Bukit Jalil, baru-baru ini.
Terdahulu, Universal Music Malaysia membuat keputusan menurunkan video muzik berkenaan apabila penampilan Dolla yang seksi mengundang teguran ramai pihak termasuk golongan pendakwah.
Lorenzo yang juga pelakon dalam video muzik tersebut berharap Dolla tidak terus dipersalahkan gara-gara isu berkenaan.
“Isunya adalah pakaian yang mana disediakan untuk mereka. Tiada pihak yang perlu dipersalahkan.
“Apa yang penting, kita ambil iktibar dengan apa yang terjadi. Selepas ini kena cakna dan berhati-hati,” kongsinya. – UTUSAN










