Usul rujuk Takiyuddin ikut tatacara Parlimen

Usul rujuk Takiyuddin ikut tatacara Parlimen

TAKIYUDDIN HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada campur tangan Eksekutif dalam keputusan merujuk Datuk Seri Takiyuddin Hassan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, sebaliknya proses itu dibuat mengikut tatacara Dewan Rakyat serta tertakluk kepada undian Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Disember lalu hanya memutuskan penyesuaian usul bagi membolehkan Ahli Parlimen Kota Bharu itu dirujuk secara rasmi ke jawatankuasa berkenaan, namun keputusan akhir tetap terletak pada Dewan Rakyat.

“Walau apa pun keputusan yang dibuat di peringkat Jemaah Menteri, ia masih tertakluk kepada pertimbangan Dewan Rakyat menurut Peraturan-peraturan Mesyuarat, dan hanya boleh diputuskan melalui undian Ahli-Ahli Dewan Rakyat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Menurut beliau, penyesuaian itu juga mengambil kira pandangan yang dikemukakan oleh ahli Parlimen semasa perbahasan, bagi memastikan setiap ahli diberi ruang membela diri melalui saluran jawatankuasa seperti yang ditetapkan.

Tambah beliau, Takiyuddin sendiri sewaktu perbahasan pada 4 Disember memohon agar beliau dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen bagi tujuan pembelaan diri, sebagaimana direkodkan dalam hansard Dewan Rakyat.

“Sewajarnya difahami bahawa sebarang usul kerajaan mesti dibawa dahulu ke Jemaah Menteri untuk dibincangkan dan diputuskan secara kolektif, sebelum diserahkan kepada Dewan Rakyat untuk keputusan akhir,” katanya.

Mengulas dakwaan Ahli Parlimen Kota Bharu bahawa Kabinet “mencampuri urusan Parlimen”, Azalina berkata, proses membawa usul ke Jemaah Menteri adalah amalan biasa yang turut terpakai kepada semua usul kerajaan tanpa pengecualian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN