KUALA LUMPUR: UMNO masih belum membincangkan pengganti Allahyarham Datuk Seri Bung Mokhtar Radin untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dan Parlimen Kinabatangan.
Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd. Fauzi berkata, pemimpin parti masih bersedih dengan berita membabitkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu.
“Ramai pemimpin sedih dengan kematian ini, kami masih terasa (kehilangan). Jadi kami tidak berbincang mengenai pengganti, sebab belum bersedia.
“Perasaan kini sangat bercampur baur, sebab setiap kali mesyuarat politik arwah akan berada di sebelah saya. Mungkin perlu bagi sedikit masa kepada kami,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato’ Onn hari ini.
Bung Mokhtar berjaya mempertahankan DUN Lamag di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 selepas menang dengan majoriti 153 dalam persaingan enam penjuru.
Namun seminggu kemudian, Bung Mokhtar meninggal dunia pada usia 66 tahun di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas bagi urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag pada 16 Disember ini.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, pihaknya menerima pemberitahuan mengenai kekosongan itu daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul pada 8 Disember, manakala Speaker DUN Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya, hari ini.
Terdahulu, mesyuarat MT UMNO bermula dengan bacaan tahlil dan doa untuk Bung Moktar atas permintaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan bacaan tahlil dipimpin oleh Ahli MT UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.-UTUSAN










