UDA bangunkan 1,402 unit rumah mampu milik

UDA bangunkan 1,402 unit rumah mampu milik

ZALIHA (belakang, dua dari kanan) dan Farizal (belakang, kanan) serta tetamu kehormat bersama 10 pembeli Residensi Akasia Jubilee yang menerima kunci kediaman baharu mereka pada Majlis Penyerahan Kunci Residensi Akasia Jubilee, di Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UDA Holdings Berhad (UDA) terus memperkukuh peranan sebagai peneraju pembangunan hartanah dan pengurusan aset dengan membangunkan sebanyak 1,402 unit rumah mampu milik di sekitar ibu negara.

Sebanyak 700 unit daripada keseluruhannya telah siap dibangunkan melibatkan 206 unit di Legasi Kampong Bharu dan 494 unit di Residensi Akasia Jubilee, sementara 702 unit Residensi Akasia Raya berada dalam peringkat pembinaan dan dijangka siap pada 2029.

Setiap unit rumah mampu milik yang dibangunkan UDA ditawarkan pada harga RM300,000.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, projek berkenaan menjadi contoh kepada pendekatan pembangunan yang tidak digerakkan oleh tuntutan keuntungan dan logik komersial semata-mata, sebaliknya dipandu oleh prinsip keadilan sosial.

Katanya, kerajaan sentiasa memberi perhatian khusus terhadap penyediaan kediaman mampu milik di kawasan bandar seiring dengan pendekatan nilai Madani yang diperjuangkan ketika ini.

“Ia bagi memastikan rakyat mempunyai peluang memiliki rumah yang selesa, berkualiti dan selamat pada harga berpatutan selaras dengan peningkatan kos sara hidup dan cabaran urbanisasi masa kini.

“Ini adalah sebahagian komitmen kerajaan khususnya di Wilayah Persekutuan selaras dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan
kepada kesejahteraan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci di Residensi Akasia Jubilee, hari ini.

Residensi Akasia Jubilee merupakan projek rumah mampu milik UDA yang kedua di tengah bandar Kuala Lumpur dengan keluasan unit sebanyak 814 kaki persegi.

Ia dilengkapi pelbagai fasiliti seperti gelanggang futsal, dewan serbaguna, taman permainan kanak-kanak, surau, dobi dan tadika, selain mempunyai akses mudah melalui Jalan Loke Yew dan terletak berhampiran pelbagai kemudahan serta pusat tarikan utama bandar.

Sementara itu, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Interim UDA, Azrudyn Rashid berkata, usaha tersebut sejajar dengan komitmen pihaknya memperkasa komuniti setempat serta menyediakan akses pemilikan hartanah yang lebih inklusif.

Katanya, inisiatif yang ditumpukan kepada kepada golongan Bumiputera di kawasan bandar itu turut menyokong aspirasi kerajaan dalam menyediakan kediaman mampu milik kepada masyarakat.

“Dari sudut pasaran, penawaran UDA jelas kompetitif pada kadar sekitar RM370 sekaki persegi berbanding projek sekitar dengan purata berharga kira-kira RM592 sekaki persegi. Projek UDA berada pada paras harga mampu milik, membuktikan komitmen UDA terhadap kesejahteraan komuniti bandar tanpa mengabaikan tuntutan pasaran dan nilai hartanah jangka panjang.

“Pendekatan UDA berteraskan harga munasabah, lokasi strategik dan keluasan kediaman yang selesa terus membuka peluang kepada golongan belia, pembeli rumah pertama dan warga kerja bandar untuk memiliki kediaman di Kuala Lumpur.

“Prinsip ini kekal selari dengan mandat kami untuk mengimbangi kelestarian komersial dengan tanggungjawab sosial,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan Pemangku Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan dan Perkhidmatan Korporat UDA, Farizal Zainudin.

Azrudyn berkata, UDA kini sedang membangunkan fasa kedua iaitu Residensi Akasia Raya yang terletak bersebelahan Residensi Akasia Jubilee dan dijangka siap pada 2029.

Katanya, pembangunan itu bukan sahaja meneruskan kesinambungan tetapi juga menambah bilangan kediaman mampu milik dan berkualiti
yang dapat ditawarkan kepada masyarakat bandar.

“Sebanyak 50 peratus unit telah dijual dan baki 50 peratus lagi (351 unit) dibuka kepada penjawat awam melalui kerjasama UDA bersama Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) dengan kadar pembiayaan serendah RM240,000.

“Inisiatif ini menzahirkan keprihatinan UDA agar penjawat awam turut berpeluang memiliki kediaman berkualiti di lokasi strategik Kuala Lumpur,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN