Tun Mohd. Ali raikan graduan Perdana University

Tun Mohd. Ali raikan graduan Perdana University

SEBAHAGIAN graduan Perdana University yang diraikan dalam majlis konvokesyen di di DoubleTree by Hilton Putrajaya Lakeside, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 107 graduan Perdana University diraikan dalam Majlis Konvokesyen Ke-8 universiti berkenaan, hari ini yang disempurnakan buat julung kalinya oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.

Graduan yang diraikan itu terdiri daripada 20 mahasiswa Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, 68 Fakulti Seni Liberal, Kemanusiaan dan Budaya, selain 17 wakil Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Kewangan serta masing-masing seorang daripada Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi serta Institut Pengajian Siswazah.

Perdana University turut meraikan kecemerlangan pelajar melalui penganugerahan akademik tertinggi institusi dengan Anugerah Canselor diberikan kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Terapi Carakerja, Kong Hui Rong.

Dua Anugerah Naib Canselor pula diterima oleh Lim Zhi Xuan dari program Doktor Perubatan (MD) dan Teh Wen Xin dari program Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Terapi Carakerja.

Selain itu, Anugerah Kecemerlangan Advokasi Penjagaan Kesihatan dirangkul Yeoh Xin Yi, Anugerah Pemimpin Muda Masa Hadapan, Lee Jia Wen serta Jiang Dan, Sim Chap Hoong dan Ge Wenhao meraih Anugerah Kecemerlangan Akademik.

Disebalik kejayaan Jiang Dan meraih Anugerah Kecemerlangan Akademik, tersimpan satu cerita yang menyentuh hati kerana graduan MBA itu berjaya menamatkan pengajian biarpun disahkan menghidap kanser.

“Saya berasa takut dan tertekan. Tetapi dengan sokongan keluarga, rakan sekelas, pensyarah serta kakitangan universiti, saya berjaya melalui tempoh yang sukar itu.

“Keperihatinan dan sikap bantu membantu komuniti di Universiti membantu saya menghabiskan pengajian ini dengan jayanya,” katanya ketika ditemui pemberita.

Dalam majlis yang sama, Perdana University turut menganugerahkan Pingat Penghormatan Tan Sri Datuk Dr. Mohan Swami, iaitu pengiktirafan tertinggi universiti, kepada lima tokoh terkemuka negara yang telah memberi sumbangan besar dalam pembangunan perubatan, kesihatan awam, sains psikologi, tadbir urus serta pembangunan institusi.

Mereka ialah Datuk Dr. Abd. Shukor Ahmad, Datuk Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek, Prof. Dr. Krishna Gopal Rampal, Prof. Dr. Viren Swami dan Yahya Abdullah.

Dalam pada itu, Canselor Perdana University, Tan Sri Dr. Suleiman Mohamed menyeru para graduan agar melangkah ke masa hadapan dengan keyakinan dan integriti, sambil terus memikul tanggungjawab sebagai pemimpin dan pembawa perubahan.

“Wahai para graduan, masa depan kini berada di tangan anda. Teruslah belajar dengan penuh keinginan, berkhidmat dengan rendah diri dan memimpin dengan penuh integriti. Anda adalah harapan dan kebanggaan Perdana University hari ini, esok dan di masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor Perdana University, Datuk Ts Dr. Mohd Razali Muhamad, merakamkan penghargaan kepada ibu bapa, keluarga serta para pendidik yang menjadi tulang belakang kejayaan para graduan melalui sokongan yang tidak pernah putus.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN