PETALING JAYA: Polis telah menahan dua ahli PKR yang didakwa meminta wang perlindungan daripada pengusaha sebuah premis urut di ibu negara, semalam.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus berkata, penahanan tersebut bagi membantu siasatan lanjut berhubung dakwaan yang tular di media sosial.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Senior Asisten Komisioner Lazim Ismail berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana meletakkan seseorang dalam ketakutan, kecederaan untuk melakukan peras ugut serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
Semalam, PKR telah mengarahkan kedua-dua individu terlibat meletakkan jawatan serta-merta daripada kedudukan mereka dalam Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP).
Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Wilayah Persekutuan, Azman Abidin berkata, ia bertujuan memudahkan siasatan oleh polis dan parti.
Sebelum ini, kedua-dua lelaki berkenaan menafikan dakwaan tersebut dan mendakwa ia lawatan ke premis urut tersebut hanya satu pemantauan rutin.
Terdahulu, satu rakaman CCTV tular menunjukkan kedua-dua ahli PKR terbabit berbincang mengenai satu tawaran berkaitan urusan dalaman Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). – UTUSAN










