BUTTERWORTH : Seorang pemuda dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan iaitu membunuh ibu kandung serta adik angkatnya dalam satu tragedi kebakaran, lebih dua minggu yang lalu.
Tertuduh, Daniel Qayyum Kamalrolzlan, 23, mengangguk faham ketika kedua-dua pertuduhan tersebut dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Balqis Roslin.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada lelaki itu kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa membunuh Hayani Yaakob, 51, di No. 4, Lorong Nakhoda 5, Taman Teluk Air Tawar, Butterworth lebih kurang pukul 9.45 pagi pada 10 Disember lalu.
Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di lokasi yang sama serta pada masa dan tarikh yang sama seperti pertuduhan pertama.
Atas kedua-dua kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau dipenjara antara tempoh 30 hingga 40 tahun selain dikenakan tdak kurang daripada 12 sebatan.
Kes dikendalikan pegawai pendakwa pendakwa, Inspektor Nor Idayu Yusoff manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Ketika prosiding, tiada sebarang ikat jamin ditawarkan terhadap tertuduh memandangkan kes tersebut diklasifikasikan sebagai jenayah bunuh dan mahkamah kemudian menetapkan 29 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat diterima.
Dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa dilaporkan dijumpai dalam keadaan rentung di bahagian ruang tamu berhampiran pintu keluar utama rumah berkenaan manakala anak lelaki mangsa yang juga suspek dikatakan cedera selepas dihempap oleh bumbung di bahagian dapur rumah terbabit.
Kes tersebut pada mulanya diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) oleh polis, namun, selepas menerima laporan forensik kebakaran daripada bomba, polis mengesyaki terdapat unsur jenayah dan suspek seterusnya direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Sementara itu, difahamkan, jenazah dua mangsa yang rentung dalam kebakaran berkenaan masih belum dapat dituntut untuk urusan pengebumian disebabkan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengambil masa sehingga tiga bulan untuk diperolehi.-UTUSAN









