PUTRAJAYA: Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang lelaki dipercayai cuba membunuh diri di sebuah pangsapuri di Presint 11, di sini semalam.
Dalam kejadian itu, mangsa dilaporkan berada di bahagian luar balkoni pangsapuri sebelum berjaya diselamatkan anggota bomba dan penyelamat yang digerakkan ke lokasi kejadian.
Komander Operasi, PBK I Khairil Nazrom Nasir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 sebelum satu jentera bersama lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Presint 7 dikerahkan ke lokasi.
Beliau berkata, sejurus tiba, pihaknya menemukan seorang lelaki dewasa dalam keadaan berbahaya di bahagian luar balkoni sebuah unit pangsapuri dan dipercayai berniat untuk terjun.
“Situasi berkenaan memerlukan tindakan berhati-hati kerana mangsa berada di kawasan tinggi dan berisiko mengancam nyawanya,” katanya.
Katanya, anggota bomba kemudian melaksanakan operasi menyelamat dengan menggunakan teknik memujuk bagi menenangkan mangsa supaya tidak bertindak di luar kawalan.
Jelasnya lagi, tindakan memujuk berjaya dilakukan dan mangsa akhirnya bersetuju masuk semula ke dalam balkoni sebelum dibawa ke dalam bilik dengan selamat.
Khairil Nazrom berkata, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan selepas berjaya diselamatkan dalam operasi berkenaan.
Katanya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis yang turut berada di lokasi untuk tindakan lanjut termasuk siasatan serta bantuan susulan yang diperlukan.
Dalam kejadian itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut membantu mengawal keadaan dan memastikan operasi berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini. – UTUSAN










