PETALING JAYA: Penerbit dan pengarah, Kay Rezza Karim memilih pendekatan berbeza dalam karya seram pertamanya, Azimat, apabila meneroka elemen trauma serta kepercayaan masyarakat Sarawak tanpa terlalu bergantung kepada teknik ‘jumpscare’.
Menurut Kay Rezza, pendekatan itu diambil bagi memastikan Azimat tampil segar dan berbeza di tengah lambakan filem seram yang semakin rancak menghiasi pawagam.
“Idea Azimat tercetus pada 2019 selepas saya berbincang dengan dua rakan penulis mengenai bagaimana kepercayaan, trauma dan nasib saling bertaut.
“Kami mahu menghasilkan naskhah seram yang bukan sahaja menakutkan, tetapi memberikan kesan emosi kepada penonton,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Kay Rezza turut menjelaskan, pembikinan Azimat melibatkan kru produksi dari Sarawak bagi menampilkan keaslian serta mempamerkan potensi negeri itu sebagai pusat penghasilan karya seni berkualiti.
“Kami mahu tonjolkan sisi menarik Sarawak yang berupaya menjadi gelanggang kreatif untuk karya bermutu.
“Ketika ini, semakin banyak karya dari Sarawak dan Sabah mendapat tempat komersial. Kami berharap perkembangan ini terus subur, sekali gus mengangkat budaya setempat.
“Dengan bajet sekitar RM500,000, kami akui mendapat banyak kekangan, namun segala yang terhad itu kami manfaatkan sebaik mungkin,” katanya.
Sementara itu, pelakon utama Azimat, Dee Dee Aine Peter, yang membawakan watak Hana, berkata filem tersebut bukan sekadar menyajikan keseraman, malah mengangkat wacana mengenai kesihatan mental.
“Saya jenis yang suka membuat latar belakang watak dan itulah cara saya menyelami jiwa Hana.
“Beraksi dalam filem seram bukan masalah kerana saya memang meminati genre itu.
“Terlibat dalam Azimat membuka peluang untuk saya menonjolkan bakat dan pada masa sama mengetengahkan kualiti filem dari Sarawak yang turut menyentuh isu kesihatan mental,” jelasnya.
Azimat turut dibintang Heidi Abyana, Fadzril Afandy dan Rushdi Mornie Daud. -UTUSAN










