Tiada cadangan kaji semula harga minimum belian padi

Tiada cadangan kaji semula harga minimum belian padi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan tidak berhasrat mengkaji semula harga minimum belian padi yang ditetapkan pada kadar RM1,500 bagi setiap tan metrik buat masa ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, keputusan itu mengambil kira trend harga beras dunia yang sedang menunjukkan penurunan.

Bagaimanapun katanya, kerajaan akan terus memantau perubahan kos pengeluaran padi dan mempertimbangkan keperluan sewajarnya pada masa akan datang bagi memastikan kebajikan pesawah terpelihara.

“Dalam mempertimbangkan cadangan untuk menaikkan harga lantai belian padi, pelbagai faktor perlu diberi perhatian seperti peningkatan kos upah, input pertanian serta kesannya terhadap kos pengeluaran beras yang akhirnya mempengaruhi harga Beras Putih Tempatan di pasaran.

“Selain itu, pergerakan harga beras dunia serta unjuran permintaan dan penawaran beras tempatan turut menjadi pertimbangan sekiranya harga lantai belian padi mahu dinaikkan lagi,” katanya menerusi jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen.

Beliau menjawab soalan Sabri Azit (PN–Jerai) yang meminta penjelasan mengenai jaminan kerajaan untuk meneliti semula harga padi agar seiring dengan peningkatan kos sara hidup pesawah di seluruh negara.

Mohamad berkata, 16 Februari lalu kerajaan bersetuju menaikkan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik.

“Pada masa sama, Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) sebanyak RM500 per tan metrik turut dikekalkan.

“Ini bermaksud pesawah memperoleh minimum RM2,000 bagi setiap tan padi yang dijual. Keputusan ini dibuat bagi menjaga kebajikan pesawah, khususnya dalam menampung kenaikan kos pengeluaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN