KUALA LUMPUR: Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mempertahankan harga beras putih tempatan patut dijual pada harga RM30 bagi 10 kilogram kerana ia memberi keadilan kepada semua pihak.
Beliau yang merupakan Pengerusi KLuster dalam Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL), berkata, penyelarasan harga beras itu penting dalam menyekat permainan kartel yang mengaut keuntungan daripada pengeluaran beras putih tempatan yang sepatutnya dijual pada harga RM26 sahaja.
Namun, katanya apa yang terjadi pada hari ini, beras putih tempatan itu hilang kerana telah dicampur dengan beras import dan dijual pada harga yang tinggi.
“Sekarang yang terasa adalah pengguna, beli beras RM40 ke atas dan pesawah seronok kerana padi dibeli dengan harga yang tinggi iaitu pada kadar RM1,750.
“Apabila buat adjustment, pesawah akan terasa kerana padi mereka akan dibeli pada harga RM1,200 ke 1,300. tetapi tidak lagi ditambah dengan bantuan kerajaan RM500,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Semalam, akhbar ini melaporkan harga baharu beras putih Malaysia Madani dan import perlu ditetapkan pada paras yang ideal bagi memastikan tidak ada yang terjejas dan memberi keadilan kepada semua pihak.
Antara harga yang dicadangkan ialah RM30 dan RM35 bagi setiap 10 kilogram (kg) dan harga tersebut dianggap realistik dalam usaha menstabilkan pasaran makanan ruji negara itu.
Selain itu, cadangan harga tersebut juga dilihat memberi situasi menang-menang kepada pengilang dan pesawah yang terus terkesan dengan kos operasi penanaman padi yang meningkat.
Beras putih tempatan di pasaran sekarang ini dijual pada harga RM28 dan RM42 untuk beras import bagi setiap 10kg, dan julat harga jualan beras tempatan dan import yang agak jauh ini dibimbangi berlaku penipuan dan manipulasi beras.
Mengulas lanjut, Syed Abu Hussin turut menegaskan harga beras RM30 masih lagi ideal dengan mengambil kira empat kategori.
“Pengguna beli pada harga RM30, pemborong beli harga borong RM29 dengan margin RM1, pemborong beli daripada pengilang dengan harga RM25.50..di situ ada margin juga, pengilang beli padi harga maksimum RM26, dulu harga lantai RM13.
“Sekarang apabila naik RM4, pengilang boleh beli harga lebih sikit dengan pesawah yang saya anggarkan RM1,450 ke RM1,500,” katanya. – UTUSAN










