KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ziana Zain meluahkan rasa terkilan terhadap sikap segelintir warga maya yang sewenang-wenangnya menggunakan kebebasan bersuara di media sosial untuk mengutuk serta mengecam selebriti tanpa usul periksa.
Ziana atau Siti Roziana Zain, 57, mengakui dirinya tidak terlepas daripada menjadi mangsa komen jahat setiap kali tampil membuat siaran langsung di platform media sosial.
“Pada saya, sesiapa yang datang menyerang orang lain, itulah sebenarnya individu yang tidak gembira. Mereka tidak senang melihat orang lain bahagia.
“Kadang-kadang kita sendiri tidak tahu apa punca kemarahan mereka. Ada yang sampai melampau. Kalau mereka mahu terus dengan sikap negatif, terpulanglah. Semua itu tidak sedikit pun mengguris hati saya.
“Saya tidak layan perkara seperti ini kerana ia hanya merosakkan minda. Lagi dilayan, lagi mereka suka,” katanya.
Ziana berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia pada sidang media Sembilu The Reunion Live in Concert, baru-baru ini.
Dalam masa sama, penyanyi Madah Berhelah itu turut bimbang sekiranya sikap semberono pengguna media sosial yang gemar menghamburkan kata-kata buruk ini menjadi contoh tidak sihat kepada generasi muda.
“Saya sentiasa memaafkan apa saja yang mereka katakan. Cuma saya risau jika perangai ini menjadi trend dan akhirnya diikuti oleh anak-anak muda.
“Tidak elok jika budaya menyerang media sosial orang lain tanpa sebab ini menjadi kebiasaan.
“Ingatlah, anda ada adik-adik dan anak-anak. Jika anda tunjuk contoh tidak baik, mereka akan ikut. Dan perbuatan itu perlu anda jawab di akhirat kelak,” ujarnya.
Menurut Ziana, hatinya sentiasa terbuka menerima teguran atau kritikan membina, namun bukan melalui cara menghentam atau memperlekehkan sesiapa.
“Kita orang Melayu dan Islam. Kita diajar untuk beradab, jangan lupa itu. Perkara buruk datang daripada hati yang tidak baik. Kita perlu didik hati supaya sentiasa menjadi lebih baik. Walaupun sukar, insya-Allah sedikit demi sedikit kita boleh berubah,” katanya. -UTUSAN










