Telefon baharu Hazwani Helmi rupanya pemberian orang - Utusan Malaysia

Telefon baharu Hazwani Helmi rupanya pemberian orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon dan aktivis kemanusiaan, Hazwani Helmi menjelaskan penggunaan telefon pintar berjenama iPhone edisi terbaharu yang dipakainya ketika malam kemuncak Anugerah Bintang Popular ke-37 (ABP37) adalah hasil pemberian seseorang, bukannya dibeli sendiri.

Menurut Hazwani atau  Nur Hazwani Afiqah Helmi, 28, telefon berkenaan digunakan atas faktor praktikal memandangkan ia mempunyai perisian yang menyokong keperluan kerjanya, khususnya dalam penyuntingan video.

“Sebenarnya iPhone itu adalah pemberian orang dan saya tidak menyangka ia menjadi isu yang begitu besar. Tujuan saya memakainya pada malam itu adalah untuk meraikan majlis berkenaan.

“Kedua, telefon tersebut mempunyai ruang penyimpanan yang lebih besar. Saya menyunting semua video sendiri, jadi ia memudahkan urusan memuat naik kandungan dan kerja-kerja suntingan,” katanya dalam satu sesi siaran langsung yang tular, malam tadi.

Tambah Hazwani, sekiranya terdapat perisian setanding pada produk tempatan, beliau tidak teragak-agak untuk memilih jenama tempatan berbanding menggunakan telefon tersebut.

Kalau ada perisian sebagus ini semestinya saya akan memilih produk lokal berbanding telefon ini,” jelasnya,

Beliau berkata demikian bagi mengulas kritikan segelintir pihak yang mempertikaikan tindakannya menggunakan jenama telefon pintar yang didakwa menyumbang dana kepada Israel, sekali gus dilihat bercanggah dengan prinsip perjuangan kemanusiaan yang dibawanya selama ini.

Bagaimanapun, Hazwani menjelaskan isu sumbangan dana kepada Israel bukan hanya melibatkan satu jenama sahaja, malah turut membabitkan platform dan sistem operasi lain.

“Apa yang terbaharu ingin saya kongsikan, sistem android juga merupakan antara penyumbang besar, dianggarkan sekitar 70 peratus. Perkara ini tidak boleh dibuat kesimpulan secara tangkap muat dan memerlukan perbincangan yang lebih menyeluruh kerana ia di luar bidang kepakaran saya.

“Mungkin isu ini boleh dijadikan satu kajian baharu,” jelasnya.

Terdahulu, aksi Hazwani merakam video ketika malam kemuncak ABP37 mencuri perhatian ramai apabila warganet mempersoalkan penggunaan telefon pintar iPhone oleh aktivis Global Sumud Flotilla itu, yang didakwa mempunyai kaitan dengan sumbangan dana kepada pihak Israel. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN