BUTTERWORTH : Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang masih menyiasat punca sebenar kebakaran yang mengorbankan dua nyawa di sebuah rumah di Taman Rathna di sini, pagi tadi.
Pengarah JBPM negeri, Mohd. Shoki Hamzah berkata, ketika ini, siasatan dijalankan secara menyeluruh tanpa mengetepikan sebarang faktor sampingan yang mungkin menjadi penyebab kepada tragedi tersebut.
“Setakat ini belum pasti (punca sebenar kebakaran). Mangsa cuma dipercayai terperangkap (dalam rumah) semasa kebakaran berlaku.
“Maka, sebab itu jugalah kita panggil Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM untuk membantu kerja-kerja siasatan kebakaran kerana kita bimbang kemungkinan ada unsur lain yang berlaku (dalam tragedi itu),” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Dalam kejadian pukul 9.41 pagi tadi, Hayani Yaakob, 50-an dan anak angkatnya yang dikenali sebagai Andra, lima tahun dijumpai dalam keadaan rentung di bahagian ruang tamu berhampiran pintu keluar utama rumah terbabit.
Sementara itu, anak kepada Hayani iaitu Daniel Quyum Kamarozlan, 20-an yang ditemui di bahagian dapur rumah tersebut pula cedera akibat dihempap bumbung yang runtuh dalam kebakaran berkenaan.-UTUSAN










