Suspek tikam, tembak anggota polis dipercayai masih berada di luar negara - Utusan Malaysia

Suspek tikam, tembak anggota polis dipercayai masih berada di luar negara

NOOR Hisam Nordin melawat pameran pada Program Advokasi Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Tahun 2025 di Kilang Unisem Ipoh, Bandar Pulai Jaya, Ipoh. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis percaya suspek kes tikam dan tembak melibatkan anggota polis di Simpang Pulai pada September lalu masih berada di luar negara.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, usaha sedang dijalankan bagi mengesan suspek dengan kerjasama Bukit Aman dan beberapa entiti yang berkaitan.

“Setakat ni suspek terbabit dipercayai berada di luar negara. Kita masih lagi berusaha mengesan lelaki itu bersama Bukit Aman serta pihak lain,” katanya selepas merasmikan Program Advokasi Kesedaran Keselamatan Jalan Raya (Op Kerja) Tahun 2025 di Unisem di Kawasan Perindustrian Pulai Jaya, Simpang Pulai di sini hari ini.

Menurut beliau, anggota polis yang cedera dalam kejadian itu telah bertukar ke negerinya di Sarawak atas faktor kebajikan.

Katanya, pertukaran anggota berusia 26 tahun itu dibuat selepas mengambil kira kebajikan anggota itu memandangkan dia tidak mempunyai ahli keluarga terdekat di Semenanjung.

“Anggota itu sudah bertukar ke Sarawak untuk mendapat rawatan di sana. Dia tiada keluarga di sini jadi pertukaran itu bagi memudahkan urusan kebajikannya.

“Saya telah meminta jasa baik Bukit Aman (berkaitan hal pertukaran) dan dia pun telah bertukar ke kampung halamannya,” katanya.

Dalam kejadian pada pukul 1.15 pagi, 7 September lalu, seorang anggota polis cedera selepas ditikam dan ditembak seorang lelaki ketika menjalankan tugasan Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) di kawasan Simpang Pulai.

Pemeriksaan pada kenderaan dipandu suspek menemukan mayat seorang wanita di bahagian tempat duduk belakang kenderaan manakala suspek melarikan diri bersama pistol milik pasukan.

Proses bedah siasat ke atas mayat wanita berusia 62 tahun itu mendapati punca kematian mangsa akibat kelemasan kerana kekurangan oksigen.

Difahamkan, perebutan harta dipercayai menjadi punca suspek membunuh wanita terbabit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN