PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menjalankan siasatan berhubung kelemahan tadbir urus dalam perolehan pajakan ladang sawit di Sabah dan Kelantan bernilai RM241.76 juta membabitkan FELCRA Berhad.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, berdasarkan maklumat yang diterima daripada SPRM, agensi itu telah mengambil maklum Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2025.
“Pada masa ini, SPRM sedang menjalankan siasatan berhubung perkara ini. Justeru itu, SPRM tidak dapat mendedahkan butiran siasatan selaras dengan subseksyen 29(4) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Akta 694).
“SPRM sentiasa komited memastikan setiap dakwaan salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah ditangani secara tegas serta telus bagi mengekalkan tadbir urus negara pada tahap tertinggi.
“Langkah ini juga mengembalikan keyakinan rakyat terhadap integriti institusi awam,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen.
Beliau menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN–Machang) yang meminta penjelasan sama ada SPRM telah membuka kertas siasatan berkaitan laporan Ketua Audit Negara mengenai salah tadbir urus FELCRA.
LKAN 2/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Julai lalu mendedahkan pelbagai ketirisan dan kelemahan tadbir urus membabitkan kementerian, jabatan, agensi serta syarikat kerajaan dengan jumlah projek diaudit mencecah RM48.87 bilion.
Selain isu FELCRA, laporan itu turut menyorot Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkaitan ketidaktelusan dalam proses perolehan tiga tender bernilai RM58.45 juta termasuk pemilihan syarikat yang tidak disyorkan panel penilai.
Laporan berkenaan juga menekankan Tentera Darat Malaysia (TDM) berhubung kelewatan pembekalan dan perkhidmatan kenderaan perisai, membabitkan denda tidak dikutip berjumlah RM162.75 juta serta perolehan bernilai RM107.54 juta dilakukan secara pecah kecil.
Selain itu, kelemahan pengurusan subsidi minyak masak dan kaedah perolehan tender baharu ‘Pre-Qualification Terpilih’ turut disentuh yang membuka ruang manipulasi serta melambatkan proses perolehan. – UTUSAN










