CYBERJAYA: Penyanyi, Sarah Suhairi, menafikan kononnya dia pernah menghasut rakan baiknya, penyanyi, Sissy Imann, untuk mengahwini lelaki berstatus duda yang sudah mempunyai anak sama seperti dirinya.
Bagi Sarah, perkahwinan adalah soal takdir dan jodoh yang telah ditentukan oleh Allah SWT buat rakannya dilakukan tanpa sebarang paksaan atau pengaruh daripada mana-mana pihak.
“Untuk saya, saya bukanlah jenis orang yang menghasut atau sengaja mencari pasangan tertentu.
“Siapa pun pasangan yang dipilih, itu adalah pilihan individu masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Sarah, selagi keputusan itu dipersetujui dan direstui oleh keluarga, terutamanya ibu bapa, dia percaya pasangan tersebut adalah yang terbaik untuk seseorang individu.
“Kalau keluarga sudah bersetuju, insya-Allah itu adalah pilihan yang tepat. Jodoh seseorang itu sudah ditentukan oleh Allah,” ujarnya.
Mengulas mengenai kehidupan selepas berkahwin, Sarah berkata setiap individu melalui pengalaman yang berbeza, terutama apabila melibatkan pasangan yang sudah mempunyai anak.
Katanya, tanggungjawab yang datang secara tiba-tiba memerlukan kesabaran dan proses penyesuaian.
“Hubungan dengan anak-anak bukan sesuatu yang boleh dipaksa. Ia perlukan masa, perlu berjumpa dan bina kepercayaan. Semua itu adalah proses,” katanya.
Sarah turut mengakui rakannya tidak pernah meluahkan kebimbangan tentang bagaimana untuk menyesuaikan diri dengan peranan baharu sebagai ibu ekspres.
Bagaimanapun, Sarah yakin Sissy seorang yang penyayang dan mudah disenangi, termasuk oleh kanak-kanak.
Dalam pada itu, Sarah yang sudah lama bersahabat dengan Sissy berkata, dia gembira melihat kebahagiaan rakan baiknya itu bersama pasangan dan keluarga baharu.
“Saya memang sangat gembira untuk dia. Saya doakan yang terbaik buat Sissy dan pasangan, semoga ikatan mereka berkekalan dan sentiasa diberkati,” katanya.
Mengulas perasaan takut segelintir wanita untuk berkahwin dengan lelaki yang sudah mempunyai anak, Sarah berkata perasaan ragu-ragu itu adalah perkara biasa.
Namun, baginya, apabila Allah memberikan tanggungjawab tersebut, itu bermakna seseorang itu sudah bersedia.
“Bila jodoh sudah sampai, Allah bagi semua itu dengan sebab dan hikmah tersendiri. Kita hanya perlu percaya dan doakan yang terbaik,” katanya. -UTUSAN










