SMK Agama Kedah raih empat anugerah IYMC di India

SMK Agama Kedah raih empat anugerah IYMC di India

DELEGASI termasuk pelajar dan pengiring bergambar di hadapan Taj Mahal, Agra, India.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Peryertaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kedah dalam International Young Mathematicians Convention (IYMC) membuahkan hasil apabila meraih empat anugerah dalam pertandingan itu yang diadakan di Lucknow, India baru-baru ini.

Kemenangan itu sewajarnya menjadi kebanggaan peserta kerana ia benar-benar menguji ketajaman minda melalui siri cabaran Matematik kritikal yang direka khusus untuk menilai kecerdasan dan kreativiti.

Timbalan Ketua Delegasi merangkap Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Kedah, Zainol Abidin Mohamad berkata, lebih membanggakan ialah program berprestij itu menghimpunkan pelajar daripada 10 negara termasuk India, Afrika, Nepal, Thailand, Uganda dan Indonesia, menjadikan persaingan begitu sengit.

“Alhamdulillah, pasukan kita meraih empat anugerah termasuk kategori Crack The Code (1st Runner Up), Math Mania untuk Senior (2nd Runner Up), Crack The Code untuk Junior (2nd Runner Up) dan Math Wiz kategori Junior yang membawa pulang gangsa,” jelasnya.

 

 

Usai pertandingan, peserta turut mengadakan lawatan ke beberapa lokasi pelancongan dan bersejarah yang menarik.

Katanya, 12 pelajar itu bersama tiga pengiring dibawa melawat ke Taj Mahal, Agra Fort dan Fatehpur Sikri sebelum meneruskan perjalanan pulang ke New Delhi untuk memberi pengalaman dan ilmu baharu kepada pelajar tersebut.

Walaupun berada di bumi asing dengan pelbagai budaya berbeza, kumpulan pelajar SMKA Kedah membuktikan mereka tidak pernah meninggalkan kewajipan agama.

Kesukaran mendapatkan tempat yang bersih untuk solat menyebabkan ada di antara mereka menunaikan solat di atas bumbung bas ketika dalam perjalanan ke Taj Mahal.

Aksi itu mencuri perhatian ramai sekali gus menunjukkan betapa teguhnya iman anak-anak muda ini dalam menjaga ibadah walaupun dalam kesukaran.

 

“Dalam perjalanan ke Taj Mahal ketika waktu zuhur menjengah, masalah timbul apabila hentian rehat dalam laluan tersebut tidak menyediakan kemudahan surau, malah kawasan sekitar tidak meyakinkan untuk digunakan bagi solat.

“Situasi itu memaksa mereka mencari alternatif paling bersih dan selamat sekali gus menjadikan bas yang dinaiki sebagai ‘surau’ termasuklah bumbungnya.

“Kami ketika itu dalam menuju ke Taj Mahal selepas selesai acara. Ada yang solat dalam bas, dan ada yang nekad naik ke bumbung kerana itu sahaja ruang yang diyakini bersih. Saya sendiri terharu dengan semangat mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Pelajar baru-baru ini.

Menurutnya, anak-anak muda itu tidak pernah sekali pun mengeluh meski pun keadaan serba kekurangan, malah tetap mendahulukan ibadah tanpa kompromi.

Beliau berkata, delegasi seramai 17 orang termasuk guru pengiring berada di India selama lima hari bermula 3 November lepas mencatatkan pelbagai kenangan manis yang dibawa pulang.

Tambahnya, misi mereka ke India bukan sekadar menimba pengalaman budaya luar, tetapi turut membawa pulang kejayaan besar dalam pertandingan Matematik antarabangsa itu.

“Taj Mahal, Agra Fort dan Fatehpur Sikri penuh dengan kesan sejarah dan kaya dengan keindahan seni binanya. Pengalaman di bumi sejarah ini diharapkan menjadi inspirasi kepada pelajar.

“Mereka ini sangat bertuah kerana pada usia muda sudah mampu melawat tempat seperti ini dan pertandingan tersebut membuka peluang itu,” ujarnya.

Bagi peserta Syifa Iswardi, 16, pengalaman ke India kali ini umpama membuka pintu dunia baharu, bukan sahaja dari aspek pembelajaran tetapi juga kematangan diri.

“Kami sangat gembira kerana dapat membawa pulang kemenangan, lebih-lebih lagi kerana soalannya memang mencabar dan memerlukan idea yang kritis serta pantas,” katanya.

Menurut Syifa, selain kejayaan akademik, peluang melawat destinasi bersejarah seperti Taj Mahal, Fateh puri Sikri yang dianggap kota ilmu, dan Agra Fort memberi mereka pengalaman yang tidak ternilai. Jelasnya, setiap tempat yang dikunjungi seolah-olah mengajar sesuatu baik tentang tamadun, disiplin mahupun erti menghargai apa yang dimiliki di tanah air.

Rakannya, Muhammad Naufal Asrol Faizal, 16, kesempatan ke India itu memberi banyak kenangan terutama apabila turut membawa pulang pelbagai anugerah dalam pertandingan Matematik bertaraf antarabangsa itu. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN