KUALA LUMPUR: Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) meluluskan lebih RM50 bilion pembiayaan kepada kira-kira 26,000 usahawan di seluruh negara sepanjang dua dekad penubuhannya.
Ini sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai pemacu utama pembangunan ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia.
Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Rahman Mohd Din berkata, Malaysia mempunyai kira-kira 1.08 juta PMKS yang menyumbang 39.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau RM652.4 bilion pada 2024.
“Setakat September 2025, KUSKOP melalui agensi-agensi di bawah seliaannya termasuk SME Bank telah menyalurkan hampir RM8 bilion pembiayaan kepada lebih 280,000 usahawan dan koperasi.
“Bagi 2026, kerajaan meningkatkan peruntukan KUSKOP kepada RM1.015 bilion, mencerminkan keyakinan terhadap potensi PMKS sebagai pemangkin utama pertumbuhan ekonomi negara,” ketika berucap pada majlis Anugerah Usahawan SME Bank 2025 di Hotel Renaissance, malam tadi.
Selain pembiayaan, SME Bank turut memperkasa lebih 90,000 usahawan melalui pelbagai program pembangunan kapasiti sejak ditubuhkan pada 2005.
Pemangku Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Samad Majid Zain berkata, setakat tahun 2025, pihaknya meluluskan lebih RM4 bilion pembiayaan merangkumi hampir 700 PKS.
“Ini sekali gus menegaskan peranan kami sebagai institusi kewangan pembangunan yang inklusif dan berimpak tinggi,” katanya.
Dengan dua dekad perkhidmatan, SME Bank terus komited menyokong pertumbuhan PMKS dan memperkukuh ekosistem keusahawanan negara secara inklusif dan mampan. – UTUSAN










