PETALING JAYA: Pelakon, Zara Zya, menzahirkan penghargaan kepada orang ramai atas doa dan sokongan yang diberikan selepas mendedahkan dirinya menghidap kanser buah pinggang tahap satu, baru-baru ini.
Zara atau Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 40, berkata kata-kata semangat yang diterima amat bermakna dalam membantunya melalui fasa sukar berkenaan.
“Terima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatan saya dan menghadiahkan kata-kata semangat. Doa kalian sangat bermakna,” katanya menerusi perkongsian di Thread.
Bagaimanapun, pelakon itu mengakui masih terdapat segelintir pihak yang melemparkan kecaman, namun memilih untuk tidak melayan perkara berkenaan.
“Kepada yang memilih untuk mengecam atau mendoakan sebaliknya, terima kasih juga. Semuanya mengajar saya untuk lebih kuat, lebih tenang dan berserah,” katanya.
Dalam perkongsian berasingan, Zara turut menjelaskan dia tidak mengamalkan pengambilan makanan ringan, makanan manis, kopi, makanan pedas, makanan segera serta kolagen.
Terdahulu, pelakon drama Love You Mr Arrogant itu memaklumkan dirinya disahkan menghidap kanser tahap satu dan menasihati orang ramai agar tidak mengabaikan sebarang isyarat yang diberikan oleh tubuh badan.
Menurutnya, sebelum menerima diagnosis tersebut, dia sering berasa cepat letih, mengalami hidung berdarah serta denyutan badan yang berlaku secara berulang. -UTUSAN










