Semoga yang indah di 2026 - Utusan Malaysia

Semoga yang indah di 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANYA tinggal tiga hari sebelum kita menuju ke tahun baharu, 2026. Terasa begitu pantas masa berputar, kadang seolah kita tidak sempat untuk menarik nafas lega dapat menjalani 2025 dengan baik.

Seperti dalam kehidupan kita sebagai manusia biasa, industri seni juga ada pasang surut dan turun naiknya. Pelbagai kejayaan yang diukir dan dalam pada masa yang sama, ada juga kelemahan yang perlu diperbaiki.

Malah tahun ini juga kita kehilangan butiran bintang yang dahulunya pernah menghiasi kanvas kehidupan kita dengan warna bakat dan seni mereka. Ambillah masa sejenak dan sedekahkan al Fatihah buat mereka.

Tahun depan, susunan awalnya kita menantikan beberapa konsert berskala besar yang pastinya bukan calang-calang sejarah bakal tercipta. Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza bakal mengulang kembali kejayaannya.

Mana tidak, selepas 22 tahun, penyanyi nombor satu negara itu bakal menggegarkan Stadium Nasional Bukit Jalil dengan kapasiti 69,000 tiket telah terjual. Itu membuktikan insan hebat itu kekal ‘bertakhta’.

Tahun depan juga, seorang lagi permata seni, Ella (yang Poklip kira sudah layak menerima penganugerahan pangkat atas sumbangannya) buat pertama kali bakal memenuhkan stadium sama.

Poklip bangga dengan kehebatan, keyakinan dan semangat juang mereka yang terus menerus membuktikan seni serta budaya ini memainkan peranan penting dalam menyatukan rakyat pelbagai kaum, generasi.

Mana tahu, bakal ada beberapa artis berjiwa besar lain yang bakal menggegarkan stadium yang mungkin boleh dikatakan sebagai salah satu tanda kejayaan tertinggi dalam diari seorang penyanyi.

Tidak terkecuali, ramai bintang seni yang bakal menghiasi kalender tahun hadapan dengan barisan konsert, filem dan daram pecah layar. Begitu rancak sekali industri seni kita dengan pelbagai perancangan.

Namun dalam masa yang sama, kita jangan lupa dengan beberapa kelemahan yang mungkin perlu diambil kira. Antara yang penting bagi Poklip adalah pelaksanaan syarat wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja untuk para pekerja seni.

Setidaknya, ketika waktu mereka tidak lagi berupaya membebani kamera di atas bahu, menulis skrip dan menata rias para artis, ada simpanan yang boleh digunakan bagi kehidupan mereka di waktu emas.

Malah sudah tiba masanya untuk pelbagai agensi yang menguruskan majlis anugerah berprestij seperti Anugerah Industri Muzik (AIM), Festival Filem Malaysia (FFM) dan anugerah-anugerah lain untuk meneliti semula sistem penjurian dan pelaksanaan.

Sudah berbunyi pahat dan segala kayu selepas penganjuran, maka semua itu perlu diambil kira supaya setidaknya ada jawapan, penerangan dan penjelasan yang boleh dibentangkan jika ada yang mengutarakan bantahan.

Banyak lagi sebenarnya yang pemain industri seni perlu meneliti supaya kebajikan bintang-bintang seni ini terjaga. Malah, keharmonian dalam menentu arah tuju industri seni juga perlu ada.

Soal siapa berkahwin, siapa bercerai atau yang melibatkan peribadi, biarlah kekal privasi. Itu tugas Tuhan, bukan kita. Kita doakan sahaja semoga semua kita baik-baik sahaja untuk tahun-tahun kemudiannya.

Semoga 2026 menjanjikan kejayaan, pencapaian dan sejarah yang baik untuk kita maktubkan.

Buat semua pembaca, terima kasih Poklip ucapkan. Ada rezeki, jodoh dan umur yang panjang, kita bertemu lagi di ruangan keramat ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN