Semoga ini bukan penutup perjalanan kami- Senario - Utusan Malaysia

Semoga ini bukan penutup perjalanan kami- Senario

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam putaran dunia hiburan, boleh dikatakan tidak banyak kumpulan mampu berada dalam radar industri hiburan walau  bersilih generasi. 

Namun bagi kumpulan Senario, perjalanan selama tiga dekad bukan sekadar tentang kekal relevan, tetapi tentang kejujuran, persahabatan, pengorbanan dan hubungan emosi yang mendalam dengan peminat.

Menurut Azlee, mewakili kumpulan Senario, sepanjang 30 tahun meniti perjalanan sebagai anak seni bersama Wahid, Lan Pet Pet, Saiful Apek, Yassin Sulaiman, Ilya, termasuk ketika Allahyarham Hamdan masih ada, mereka telah melalui pelbagai fasa kehidupan.

Segalanya dilalui bersama, naik turun dunia seni termasuklah berhadapan dengan pelbagai ragam dan kerenah peminat yang sentiasa memberi sokongan tanpa jemu.

“Kami dah lalui macam-macam. Dari zaman mula-mula orang kenal Senario sebagai kumpulan komedi televisyen, sampailah ke hari ini. Boleh dikatakan, peminat kami membesar bersama kami,” katanya.

Apa yang paling menyentuh perasaan, menurut Azlee, ialah reaksi peminat hari ini.

Jika dahulu peminat datang dengan jeritan dan keterujaan, kini akui Azlee, ada antara mereka yang datang menemui Senario dengan air mata.

“Sekarang ini, 30 tahun sudah berlalu. Kami tak sangka peminat boleh menangis bila jumpa kami. Tapi mereka menangis bukan sebab sedih, sebaliknya terlalu gembira. 

“Ramai peminat mengakui sukar melupakan Senario kerana kumpulan ini menjadi sebahagian daripada nostalgia hidup mereka.

“Ada yang kata mereka membesar dengan lawak kami, dengan sitkom kami, dengan lagu-lagu kami. Ada yang ingat zaman tengok Senario dengan keluarga, dengan mak ayah, adik-beradik. Sekarang bila tengok kami semula, kenangan itu datang balik, walaupun ada ahli keluarga yang sudah tiada,” ujarnya.

Baginya, itulah bukti paling besar bahawa Senario bukan sekadar kumpulan hiburan, tetapi sebahagian daripada perjalanan hidup penonton mereka.

Malah, Azlee juga yakin,kekuatan Senario bukan sekadar terletak pada komedi.

“Kalau dilihat, lagu-lagu kami pun banyak nasihat. Sitkom kami pun ada mesej. Itu yang membezakan Senario dengan kumpulan lain.

“Tidak cuma itu, sebelum ini kalau hendak tahu, Senario juga aktif menyertai program motivasi di sekolah-sekolah, khususnya melibatkan pelajar bermasalah, berkongsi pengalaman hidup dan memberi inspirasi,”ujarnya.

Mengimbau zaman kegemilangan Senario sekitar era 1990-an, Azlee turut mengakui mereka pernah melalui fasa fenomena yang sukar dilupakan.

“Kami pernah buat konsert berskala besar di ibu negara, kemudian ke Singapura, Johor Bahru dan Brunei. Itu empat konsert mega yang betul-betul kami tak boleh lupa,” katanya. 

Ceritanya lagi, pada era itu, tiada media sosial atau telefon pintar. Jika mahu menonton artis kegemaran, peminat perlu hadir sendiri ke konsert.

“Itu pengalaman yang tulen. Sekarang kalau terlepas, boleh tengok rakaman. Tapi dulu, kalau tak pergi, memang rugi,” katanya.

Konsert ‘The Last Kopek’

Berikutan itu, selepas sekian lama ditunggu, Senario bakal menghadiahkan peminat dengan sebuah konsert The Last Kopek: Senariounion 30 Tahun. 

Bagi Azlee, penganjuran konsert tersebut seiring dengan banyaknya pertanyaan yang diajukan peminat yang merindui kehangatan dan ragam meriah Senario di hadapan mata mereka. 

“Setiap hari peminat tanya bila nak buat konsert. Jadi bila peluang ini datang, kami rasa inilah masanya. Walaupun tiket kena beli, kami anggap ini hadiah untuk peminat,” katanya berseloroh.

Jelas Azlee, konsert ini tercetus apabila pihak penganjur tampil menawarkan idea untuk menghimpunkan semula semua anggota Senario.

“Mereka datang dan terus berikan tawaran. Mereka tanya, boleh tak kumpulkan semua anggota Senario. Alhamdulillah, kami berjaya kumpulkan semula. Kami buat sebab kami tahu peminat tunggu perancangan ini selama 30 tahun.

“Segala persiapan konsert diatur sepenuhnya oleh pihak produksi, bermula daripada perancangan teknikal, latihan bersama pemuzik, latihan bersama penari sehinggalah persiapan akhir.

“Namun, cabaran terbesar kali ini adalah faktor usia. Kami bukan muda macam dulu. Konsert ini lebih dua jam, dengan lebih 20 lagu. Nak kekal bertenaga atas pentas selama itu bukan mudah. Namun itu tidak mematahkan semangat kami untuk berikan yang terbaik buat peminat nanti,”ujarnya.

Ditanya kebarangkalian konsert  ini merupakan yang terakhir dilakukan Senario berikutan judul yang diberikan, Azlee tidak memberikan kepastian.

“Judul konsert memang ‘The Last Kopek’ tetapi saya pun harap ia bukan penutup kepada perjalanan kami. 

“Kami sendiri tak tahu. Mungkin ini terakhir, mungkin ada lagi. Semua bergantung kepada rezeki,” katanya.

Konsert anjuran Dreamscape Events dengan penerbitan oleh Kapla Entertainment itu dijadual berlangsung pada 25 April tahun depan di Idea Live Arena.

Berasaskan konsep persembahan santai merangkumi nyanyian dan lawak jenaka, Senariounion bakal diiringi tujuh pemuzik bersama tiga pemain horn dan akordian. 

Susunan muzik segar untuk konsert berkenaan diketuai Chaan & The Leman Band selaku Pengarah Muzik.

Tiket konsert telah mula dijual pada harga berikut: RM138 (Motor Kapchai), RM188 (Cinta Berkarat), RM268 (Lip Lap Lip Lap), RM268 (Sebelum dan Sesudah), RM288 (Cinta Sate), RM388 (Cari Tapak) dan RM488 (Cepat Kaya). 

Pembelian boleh dibuat melalui www.ilassotickets.com/Senariounion atau www.fantopia.io.

Konsert ini turut menerima sokongan daripada Amar Travel & Tour Sdn Bhd sebagai Rakan Rasmi, Sunway Putra Hotel sebagai lokasi sidang media, Idea Live Arena sebagai lokasi rasmi serta iLasso dan Fantopia sebagai tiket rasmi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN