SEREMBAN: Sembilan buah rumah setinggan musnah dalam kebakaran berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Kirby, Batu 9, Jalan Labu di sini pagi tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan dalam kenyataan berkata, kejadian kira-kira pukul 9.18 pagi itu mengakibatkan lapan rumah musnah sepenuhnya manakala sebuah lagi mengalami kerosakan kira-kira 30 peratus.
Katanya, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian tersebut.
“Jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2 tiba di lokasi kejadian pada pukul 9.33 pagi. Setibanya di lokasi, kami mendapati kebakaran melibatkan sembilan buah rumah setinggan kelas bberukuran kira-kira 20 kali 60 kaki setiap unit.
“Operasi pemadaman berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 10.10 pagi dan kerja-kerja overhaul masih dijalankan bagi memastikan tiada punca api berulang,” katanya.
Operasi melibatkan seramai 26 anggota dari BBP Seremban 2, BBP Nilai serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pelegong dengan kekuatan tujuh buah jentera. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. – UTUSAN










