PETALING JAYA: Jumlah pendapatan sektor pertanian pada 2023 adalah RM186.43 bilion dengan subsektor tanaman muncul sebagai penyumbang terbesar iaitu RM132.06 bilion (70.8 peratus) daripada jumlah keseluruhan pendapatan, menurut Laporan Banci Pertanian 2024.
Ketua Perangkawan Malaysia dan Pesuruhjaya Banci, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, ia diikuti oleh subsektor ternakan dengan RM33.12 bilion (17.8 peratus), perikanan tangkapan RM11.08 bilion (5.9) peratus), perhutanan dan pembalakan RM5.42 bilion (2.9 peratus) serta akuakultur RM4.74 bilion (2.5 peratus).
“Tiga negeri teratas mencatatkan jumlah pendapatan adalah Johor dengan nilai RM30.15 bilion, Sarawak (RM29.18 bilion) dan Sabah (RM28.22 bilion).
“Komponen pendapatan dalam Banci Pertanian 2024 merangkumi nilai jualan daripada aktiviti pertanian, aktiviti yang dijalankan untuk pihak lain, produk pertanian yang diproses serta pendapatan lain berkaitan aktiviti pertanian,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pegangan pertanian yang diusahakan oleh pertubuhan menyumbang RM136.05 bilion, bersamaan 73.0 peratus daripada jumlah pendapatan sektor pertanian, manakala pegangan pertanian individu merekodkan RM50.38 bilion atau 27.0 peratus.
“Dalam subsektor tanaman, pegangan pertanian oleh pertubuhan menjana pendapatan RM93.74 bilion, mewakili 71.0 peratus daripada jumlah pendapatan subsektor tersebut,berbanding RM38.32 bilion (29 peratus) yang disumbangkan oleh pegangan individu.
“Pendapatan dalam subsektor tanaman didominasi oleh penanaman kelapa sawit yang mencatatkan RM92.68 bilion. Ini diikuti oleh buah-buahan (RM14.15 bilion), sayur-sayuran (RM10.90 bilion), getah (RM4.27 bilion), padi (RM3.84 bilion) dan nanas (RM2.33 bilion).
“Tanaman lain menyumbang bahagian yang relatif lebih kecil kepada keseluruhan pendapatan subsektor tanaman,” ujarnya.
Mohd. Uzir berkata, bagi subsektor ternakan, pendapatan sebahagian besarnya dijana oleh pegangan pertubuhan iaitu RM31.28 bilion (94.4 peratus), manakala pegangan individu menyumbang RM1.84 bilion (5.6 peratus).
“Aktiviti ternakan ayam/itik mencatatkan pendapatan tertinggi sebanyak RM20.83 bilion, diikuti oleh telur ayam/itik (RM5.54 bilion) dan babi (RM2.55 bilion).
“Dalam subsektor perikanan tangkapan, pendapatan didominasi oleh pegangan individu sebanyak RM9.29 bilion (83.8 peratus) berbanding RM1.80 bilion (16.2 peratus) oleh pegangan pertubuhan.
“Sebaliknya, pendapatan akuakultur kebanyakannya dijana oleh pegangan pertubuhan sebanyak RM3.86 bilion (81.3 peratus), manakala pegangan individu menyumbang RM0.88 bilion (18.7 peratus).
“Pendapatan subsektor perhutanan dan pembalakan hampir keseluruhannya disumbangkan oleh pegangan pertubuhan iaitu RM5.38 bilion (99.1 peratus), sementara pegangan individu hanya menyumbang RM47.17 juta (0.9 peratus),” katanya.
Beliau turut memaklumkan jumlah perbelanjaan sektor pertanian pada 2023 adalah RM67.89 bilion.
“Subsektor tanaman merekodkan perbelanjaan tertinggi iaitu RM41.53 bilion (61.2 peratus) daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan pertanian, diikuti oleh subsektor temakan (RM17.00 bilion, 25.1 peratus), perikanan tangkapan (RM5.03 bilion, 7.4 peratus), perhutanan dan pembalakan (RM2.57 bilion, 3.8 peratus) serta akuakultur (RM1.76 bilion, 2.6 peratus).
“Jumlah perbelanjaan merujuk kepada keseluruhan kos yang ditanggung bagi bahan langsung dalam aktiviti pertanian, termasuk kos pengangkutan, penyelenggaraan dan perbelanjaan operasi lain yang berkaitan,” katanya. – UTUSAN










