BUTTERWORTH : Prihatin dengan peningkatan kes penipuan dalam talian atau ‘online scam’ sejak akhir-akhir ini, seorang pakar teknologi dan keselamatan siber mengambil inisiatif untuk berkongsi beberapa tips bagi mengelakkan daripada terperangkap dengan sindiket tersebut menerusi penerbitan sebuah buku khas.
Ts. Lukas J. Tan yang berpengalaman selama lebih 18 tahun dalam bidang teknologi dan keselamatan siber berkata, beliau mengambil masa sehingga lapan bulan untuk menyiapkan buku tersebut berdasarkan pengalaman serta kepakaran yang dimilikinya.
“Sebelum ini, saya telah banyak membantu membangunkan sistem IT (teknologi maklumat), laman sesawang serta beberapa platform lain dan saya melihat sendiri bagaimana ‘scammer-scammer’ ini menggunakan kelemahan atau kelompongan teknikal yang wujud untuk menjalankan operasi mereka.
“Sepanjang karier juga, saya telah melihat bagaimana mereka (sindiket penipuan dalam talian) mengeksploitasi mangsa, mencipta keterdesakan, mengelirukan serta menyalahgunakan teknologi untuk memerangkap mangsa yang tidak bersalah.
“Oleh itu, saya bertekad untuk kembali menyumbang kepada masyarakat dengan menukar segala ilmu dan pengalaman yang saya miliki dalam bidang ini kepada pendidikan, kesedaran dan perlindungan untuk orang awam agar tidak mudah terpedaya dengan sindiket seperti ini,” katanya.
Terdahulu, Lukas yang juga merupakan pengasas serta Ketua Pegawai Eksekutif OPERiON iaitu sebuah syarikat pembangunan perisian dan reka bentuk laman sesawang ditemui Utusan Malaysia semasa melancarkan buku tersebut yang diberi judul ‘Scam-Proof: Before It Too Late’ di sebuah pusat beli-belah di sini.
Hadir sama pada majlis pelancaran buku itu ialah Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Mohamed Rusdan Maidin dan wakil daripada syarikat Oneplus Network PLT, Cledment Loke Chee Tion selaku penaja buku berkenaan.
Menurut Lukas, selain berkongsi tips untuk mengelak daripada ditipu oleh ‘scammer’, buku tersebut juga mengandungi kisah benar yang dialaminya berdasarkan pengalaman beliau berdepan taktik penipuan oleh sindiket terbabit dan sebagainya.
“Buku ‘Scam-Proof’ ini menyasarkan golongan pelajar, ibu bapa, ahli perniagaan serta warga emas untuk membantu mereka mendapatkan pengetahuan yang jelas mengenai sindiket penipuan ini serta langkah yang perlu diambil untuk kekal selamat pada era digital,” ujar beliau.
Jelasnya, buat permulaan, sebanyak 1,000 naskhah buku telah diterbitkan dan dijual di beberapa kedai buku terpilih seperti Popular, MPH, Kinokuniya dan BookCapital pada harga RM39.90.
“Saya juga berharap agar pihak kerajaan dapat melihat serta menilai inisiatif yang diambil oleh individu atau syarikat dalam membantu membanteras kegiatan ‘online scam’ ini dan jangan hanya melihat kepada persatuan yang tertentu sahaja.
“Sebenarnya, dalam hal ini, kerjasama antara semua pihak penting bagi memastikan jenayah ‘scam’ tidak terus berleluasa,” katanya yang terbuka untuk berkongsi pengalaman dan ilmu pengetahuan mengenai perkara itu dalam mana-mana forum dan sebagainya.-UTUSAN










