GEORGE TOWN : Cadangan oleh seorang tokoh akademik iaitu Prof. Datuk Dr. Ahmad Murad Merican untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai ‘Wilayah Khas’ Kedah disifatkan sebagai mencabar struktur asas pembentukan Persekutuan Malaysia serta Perlembagaan Persekutuan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang, Wong Hon Wai berkata, hal ini demikian kerana, Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan 1957 telah menjelaskan bahawa kedua-dua negeri itu adalah berdaulat dan terlibat dalam pembentukan Persekutuan Malaysia bersama negeri-negeri lain.
“Oleh itu, kenyataan beliau (Ahmad Murad) telah mencabar struktur asas pembentukan Persekutuan Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan. Beliau nampaknya cuba ‘menari’ seiring dan senada dengan Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor).
“Dalam hal ini, kedua-dua mereka sebenarnya telah gagal untuk menghayati pembentukan Persekutuan Malaysia di mana Perlembagaan Persekutuan merupakan batu asas kepada pembentukan kenegaraan Malaysia,” katanya di sini, hari ini.
Ahmad Murad yang juga Pengarah Pusat Kajian Ketamadunan Melayu Islam dari Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (ISTAC) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dilaporkan memberi cadangan tersebut ketika sesi forum ‘Merungkai Polemik Persejarahan Malaysia: Antara Fakta dan Tafsiran’ di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini.
Menerusi cadangan itu, beliau mahu Pulau Pinang dijadikan sebagai ‘Wilayah Khas’ Kedah dengan mengekalkan struktur institusi, ekonomi dan politik selain diberikan kuasa autonomi tertentu dengan menjadikan Hong Kong yang kini merupakan wilayah pentadbiran khas China sebagai rujukan.
Terdahulu iaitu pada 22 November lalu, Muhammad Sanusi memaklumkan bahawa kerajaan negeri Kedah sedang menunggu pasukan peguam untuk menyempurnakan proses teknikal berkaitan tuntutan terhadap Pulau Pinang termasuk meneliti dokumen serta menentukan bentuk ‘relief’ atau tuntutan munasabah.
Muhammad Sanusi berkata, tindakan itu diambil sebagai langkah susulan daripada titah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada 2023 yang mahu isu pajakan dan kedudukan Pulau Pinang dijelaskan secara telus.-UTUSAN










