GEORGE TOWN : “Sebagai seorang wakil rakyat, adalah menjadi kewajipan saya untuk bersuara apabila kehidupan seharian rakyat terjejas.”
Itu antara penegasan yang dibuat oleh Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo susulan penularan satu rakaman video yang memaparkan beliau memarahi kontraktor ketika meninjau kerja-kerja mencantas pokok di kawasan Mount Pleasure, Tanjung Bungah, semalam.
Menurut Jagdeep, tindakan kontraktor terbabit menutup kedua-dua laluan utama dengan dua buah kren bersaiz besar tanpa mempertimbangkan kesan kepada penduduk telah menyebabkan ribuan penghuni kondominium Sea Range Tower dan Seaview Garden terkandas.
“Saya menerima banyak aduan termasuk daripada seorang wanita yang meluahkan kemarahan terhadap situasi itu Walaupun penutupan jalan perlu bagi memastikan keselamatan kerja, kesan kepada aliran trafik dan rutin harian penduduk langsung tidak diambil kira,” katanya di sini, hari ini.
Sebelum ini, tular satu rakaman video berdurasi kurang satu minit di laman TikTok memaparkan ‘perang mulut’ antara Jagdeep dengan sekumpulan pekerja yang sedang menjalankan kerja pemotongan pokok di kawasan Tanjung Bungah sehingga mengundang pelbagai reaksi daripada warganet.
Mengulas lanjut, Jagdeep berkata, penutupan jalan yang dibuat secara tidak sistematik itu juga menimbulkan kebimbangan tambahan kerana warga emas dan kanak-kanak terpaksa melalui laluan berbukit tersebut untuk keluar atau pulang ke rumah.
“Malah, dua anak saya sendiri turut terkesan apabila isteri saya tidak dapat keluar rumah untuk mengambil mereka dari sekolah. Bagaimana pula dengan penduduk lain khususnya warga emas? Bagaimana sekiranya berlaku kecemasan dan ambulans tidak dapat masuk?” soal beliau.
Sehubungan itu, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat berkata, beliau memohon maaf bagi pihak kerajaan negeri atas segala kesulitan yang dialami oleh penduduk dan memberi jaminan bahawa kejadian seumpama itu tidak akan berulang pada masa depan.-UTUSAN










