Bergelar antara penyanyi tersohor Indonesia, Afgan, membuka sisi hidupnya yang jarang dikongsi.
Tidak menafikan bahawa perjalanan hampir dua dekad dalam industri penuh jatuh bangun, pencarian diri dan pelajaran hidup, semu itu bagi Afgan telah menjadikan dirinya lebih matang sebagai artis dan manusia.
Mengimbas perjalanan hidupnya, cerita Afgan, dia mula sedar dirinya menjadi fenomena apabila single pertamanya, Terima Kasih Cinta sering berkumandang di radio dan orang mula mengenalinya ketika berada di tempat awam.
Namun di sebalik sorakan peminat dan kejayaan lagu hit, dia ketika itu hanyalah seorang anak muda pemalu yang mempunyai keyakinan diri rendah, tidak pernah melalui latihan formal dan masih bergelut menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai figura awam.
Akan tetapi, dia sedar hidupnya berubah sekelip mata. Malah, ketika itu dia masih seorang pelajar universiti di Jakarta. Semua dilakukan tanpa privasi, tanpa persediaan, dan tanpa pengalaman hanya belajar sambil melaluinya.
“Sungguhpun begitu, saya boleh membezakan situasi. Saya tahu bila saya bekerja, ini Afgan. Tetapi bila saya tidak bekerja, saya bersama kawan dan keluarga, bukan Afgan.
“Saya boleh mengasingkannya, seakan membuka ‘topeng’. Sukar untuk saya jelaskan. Kadang-kadang bila saya di atas pentas, saya rasa seperti itu adalah alter ego. Saya menjadi orang lain. Tetapi orang itu hanya muncul di pentas sahaja, di rumah, saya adalah diri sendiri,”katanya.

Tidak menolak bahawa dirinya merupakan seorang jejaka dengan sifat introvert, kongsi Afgan, disebabkan itu juga dia cenderung bersikap mahukan kesempurnaan.
“Kebanyakan masa saya tidak nafikan yang saya sangat kritikal terhadap diri sendiri. Saya rasa beberapa penyanyi dan pemuzik hebat yang saya kenal, mereka juga sangat kritikal terhadap diri sendiri.
“Tetapi bukan dalam cara yang toksik. Saya suka memberi perhatian kepada setiap butiran yang berlaku dari segi muzik. Ya, boleh dikatakan saya agak kecelaruan obsesif kompulsif (OCD).
“Bagaimanapun selepas kejayaan album pertama, saya tidak berasa tertekan untuk pastikan terus ada album kedua. Malah, masa itu, saya belum belajar apa-apa tentang penulisan lagu. Saya ada penulis lagu untuk menulis lagu untuk saya.
“Saya amat bersyukur kerana saya diberi peluang untuk menjadi orang yang menyanyikannya sehingga kini. Untuk album kedua saya ada Panah Asmara, Bukan Cinta Biasa, Bawalah Cintaku, semua lagu ini masih disukai ramai. Pada masa itu, saya cuma ikut aliran, ikut saja, semuanya berjalan ikut aturan,”katanya.
Pada masa itu, walaupun Terima Kasih Cinta adalah hit, di Malaysia ketika 2008, kata Afgan, orang ramai bagaimanapun masih tidak kenal siapa dirinya.
Justeru, ketika di menyambung pengajian di sebuah universiti swasta di Malaysia, dia berasa lega kerana boleh bergerak ke mana-mana tanpa dikenali.

“Mereka tidak biasa dengan saya. Jadi, saya boleh pergi ke tempat-tempat seperti budak normal, seorang pelajar. Tetapi saya tidak berhenti dalam muzik. Saya berulang alik dari Jakarta ke Kuala Lumpur.
“Isnin hingga Jumaat saya di sini, dan pada Jumaat petang, saya terbang ke Jakarta. Malamnya saya buat persembahan. Jumaat, Sabtu, Ahad, show di Indonesia. Dan pagi Isnin, saya pulang ke Malaysia.
“Ramai tanya kenapa tidak belajar sahaja di Jakarta, tetapi saya ada sebab sendiri. Apa pun saya masih boleh kekalkan kerjaya muzik saya. Jadi, saya boleh buat kedua-duanya, tidak perlu berhenti. Di universiti ambil masa tiga tahun.
“Pada masa itu saya pilih buat kedua-duanya dan saya berjaya. Saya tamatkan pendidikan sambil merakam album seterusnya. Pada masa itu saya masih berusia awal 20-an, jadi tidak rasa penat. Sekarang saya tidak boleh buat. Pada umur sekarang, memang tidak jalan,” selorohnya.
Pun begitu, kata Afgan, sedikit pun dia tidak pernah berasa menyesal melalui fasa ‘penat’ dan kesukaran mengimbangi antara kerjaya muzik dan akademik.
“Saya sebenarnya seronok melakukan kedua-duanya. Saya buat persembahan dan muzik hujung minggu dan kembali ke hidup pelajar dengan kawan-kawan. Masa itu seronok. Saya agak bangga kerana dapat buat kedua-duanya. Jadi, saya tidak menyesal.
“Nasib baik saya tidak tinggalkan muzik. Jika saya tinggalkan selama tiga tahun, untuk kembali mungkin saya akan jadi lebih malas atau mungkin bukan untuk saya lagi. Nasib baik saya tidak buat begitu. Nasib baik saya pilih kekal dalam muzik dan akademik serentak,”ujarnya.
SABOTAJ DIRI
Selain itu, Afgan juga menceritakan detik ketika dia memilih untuk bereksperimen menghasilkan album berbahasa Inggeris dan meneroka genre R&B.
Keberanian itu bukan semata-mata untuk mengejar pasaran global, tetapi datang daripada naluri peribadinya yang mahu mencipta suasana baharu, bekerja dengan penerbit luar negara dan belajar cara penulisan serta rakaman berbeza yang akhirnya memperkaya teknik dan rasa muziknya.
Pun begitu, dugaan menimpanya apabila ‘eksperimennya’ itu boleh dianggap tidak berjaya.
“Terus-terang, ketika itu saya menerimanya dengan sukar. Saya rasa itu adalah titik terendah dalam kerjaya saya. Ketika itu, 2016, saya tak lagi menikmatinya. Saya kecewa dengan penerimaan. Saya jangka lebih daripada itu.
“Ia tidak berjaya dan saya mula bosan. Saya mula merasa bosan melakukan persembahan setiap malam. Pada masa itu saya jadi kurang semangat. Pengajaran yang saya ambil pada masa itu, saya tak hargai apa yang saya ada.

“Tapi itu juga proses yang perlu saya lalui. Saya perlu melalui fasa itu. Sekarang, saya benar-benar boleh menghargai apa sahaja yang saya ada, apa sahaja. Contohnya, lagu baru saya, Kacamata. Bila saya keluarkan, saya tak ada jangkaan. Saya lepaskannya. Ia bukan milik saya lagi. Ia milik semua orang. Ada benda di luar kawalan saya. Saya hanya boleh kawal apa yang boleh saya kawal. Jadi saya lepaskannya.
“Kemudian ia menjadi viral. Mungkin dahulu, saya mahu kawal semuanya tentang album sendiri, saya mahu orang suka ini. Jadi, itu pelajaran yang saya ambil iaitu anda perlu lepaskan. Anda sudah buat yang terbaik. Kadang-kadang ada perkara yang anda tidak boleh kawal. Jika anda tidak berjaya kali ini, anda boleh buat lebih baik masa hadapan,”katanya.
Selain itu, Afgan juga akui, dia pernah berasa orang sudah bosan dengan dirinya, muziknya.
“Saya ambil ia secara peribadi. Untuk itu, saya rasa mungkin orang sudah bosan dengan saya atau mungkin waktunya sudah tamat. Semua fikiran negatif itu muncul. Sudah tentu ada rasa tidak selamat. Tetapi saya perlu lalui itu supaya boleh sampai ke titik dalam hidup saya di mana saya rasa lebih selaras, tenang, aman.
“Jadi, kepada mereka yang mengalami ketidakamanan atau sabotaj diri, mungkin anda perlu lalui sebab ada sesuatu yang boleh dipelajari daripada perkara sukar. Saya rasa setiap kesukaran dan cabaran yang kita hadapi mesti ada kegunaan.
“Ada sesuatu yang kita boleh pelajari, sesuatu yang berguna. Jangan fikir saya sebagai artis, kehidupan saya semuanya menyeronokkan, sebab ada orang fikir begitu.
“Hidup saya sama seperti anda, ada naik dan turun. Niat saya berkongsi hal ini pun kerana mahu peminat di Malaysia lebih kenal saya secara peribadi, bukan hanya melalui muzik, tetapi sebagai manusia,”ujarnya.
EVOLUSI DIRI
Selepas hampir dua dekad mengukir nama dalam industri muzik Nusantara, Afgan juga mengakui bahawa pengajaran terbesar yang membentuk karya terbaharunya bukan datang daripada studio atau pentas, sebaliknya daripada perjalanan hidup peribadinya sendiri.
Menurut Afgan, proses menjadi insan yang lebih matang banyak mempengaruhi pendekatannya terhadap penciptaan muzik.
“Saya rasa pelajaran terbesar datang dari hidup. Perjalanan peribadi anda sebagai individu adalah pelajaran paling berharga.
“Kita boleh tulis lagu lebih baik, persembahkan dengan lebih baik, buat dari hati kerana kita terhubung. Jadi pelajaran terbesar ialah itu. Ambil semua pelajaran hidup dan aplikasikan pada seni,”katanya.

Tambahnya, meskipun pengalaman bertahun-tahun dalam kerjaya seni memberi banyak ilmu teknikal, apa yang benar-benar membentuk dirinya sebagai seorang artis ialah evolusi emosi dan spiritual sepanjang perjalanan hidup.
Dalam pada itu, Afgan turut mengulas tentang keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan peribadi, sesuatu yang diakuinya dahulu sering diabaikan.
“Saya dulu rasa mungkin kerana saya belum berkahwin dan belum stabil, semua yang saya ada ialah kerja. Saya fokus pada kerja sehingga tak perhatikan kehidupan peribadi. Namun pandangan saya berubah apabila sedar bahawa hubungan sesama manusia memainkan banyak peranan selain kerjaya.
“Kerja tidak mendefinisikan anda sebagai insan. Bila bekerja, anda harus bezakan yang ini kerja, yang ini peribadi. Saya sudah buat yang terbaik tapi tak ambil serius tengang perkara lain secara peribadi.
“Kemudian saya sedar bahawa saya ada banyak peranan lain iaitu sebagai seorang anak, abang, bapa saudara, sahabat. Jadi anda tak perlu hyper-fokus pada kerja, tetapi bila bekerja, jangan lupa berikan tumpuan 100 peratus,”ujarnya.-UTUSAN










