KAJANG: Pelakon, Mia Nasir, 34, memaklumkan lebih rela hidup solo daripada berkahwin dengan lelaki berstatus suami orang.
Menurut pemilik nama sebenar Nur Farah Andy Nasir, dia tidak sanggup berkongsi kebahagiaan dengan wanita lain.
“Tidak sesekali. Saya rasa orang tahu yang saya tidak layan suami orang. Memang tidak sesekali bagi saya. Kenapa nak jadi isteri kedua? Ramai lagi lelaki muda yang belum berkahwin. Kenapa pula nak ambil ‘bekas’ orang?
“Kita ada pilihan. Daripada nak melayan anak-anak lelaki itu, isteri pertamanya pula. Tidak, saya mahu jadi yang pertama, satu-satunya permaisuri suami saya.
“Jadi, saya tak akan berkongsi suami. Buat apa memeningkan kepala? Kalau tak ada duit sekalipun, kita boleh usahakan, bina keluarga bersama-sama.
“Daripada meruntuhkan rumah tangga orang, habis satu keluarga, anak-anak nanti terkesan. Saya memang akan elakkan. Saya rela membujang daripada jadi isteri kedua atau berkongsi dengan sesiapa,” katanya yang ditemui semasa proses penggambaran drama Paksu Ammara, di sini.
Adik pelakon Anzalna Nasir itu dalam masa yang sama menegaskan akan terlebih dahulu menyemak latar belakang lelaki yang bakal dikahwininya bagi mengelakkan berkahwin dengan suami orang.
“Ya, itu paling penting. Suami orang, selamat jalan. Tak perlu. Cari yang solo dan muda, lagi bagus.
“Saya memang tak akan melayan suami orang. Jadi isteri kedua ini berlaku sebab salah seorang melayan.
“Kalau lelaki itu cuba menggoda, tapi anda tak layan, lambat laun dia pun penat mencuba. Jadi, bagi saya, jangan layan, abaikan sahaja,” kongsinya. – UTUSAN










