Saya ini legam, macam mana jadi pelakon? – Ziana Zain hampir tolak Sembilu - Utusan Malaysia

Saya ini legam, macam mana jadi pelakon? – Ziana Zain hampir tolak Sembilu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mengimbas kembali penglibatannya dalam filem fenomena Sembilu, penyanyi dan pelakon, Ziana Zain, mengakui hampir menolak tawaran Datuk Yusof Haslam kerana tidak yakin dengan penampilan fizikalnya pada ketika itu.

Menurut Ziana atau Siti Roziana Zain, 57, kurang keyakinan diri berpunca daripada kulitnya yang hitam manis, berbeza dengan kebanyakan pelakon wanita era berkenaan yang tampil berkulit cerah.

“Memang ragu nak berlakon sebab fizikal. Waktu itu saya fikir, ‘aku ini sudahlah legam, macam mana nak jadi pelakon?’. Tengok pula pelakon lain semuanya cantik-cantik seperti Uji Rashid, Lisdawati dan ramai lagi.

“Saya pula banyak habiskan masa di padang sekolah, sebab itu kulit pun legam. Sebenarnya saya yang fikir begitu, bukannya sebab ada yang mengecam,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Ziana berkata, keyakinan itu akhirnya datang selepas digesa oleh Yusof Haslam sendiri bahawa beliau mampu membawakan watak berkenaan dengan baik.

“Tapi Datuk Yusof yakinkan saya yang saya boleh bawa karakter dalam Sembilu.

“Kalau tidak cuba, kita tidak akan tahu. Kadang-kadang kita tak nampak kemampuan diri sendiri, tetapi orang lain yang melihat potensi itu,” ujarnya.

Membawakan watak menggunakan namanya sendiri dalam Sembilu, Ziana turut mengakui arwah bapanya, Zin Abdullah, antara individu yang memberi dorongan kuat supaya menerima peluang yang hadir.

“Arwah selalu pesan, ‘kalau buat kerja, buat betul-betul. Buat seikhlas-ikhlasnya’. Katanya, orang datang bayar untuk tengok kita menyanyi, beli kaset. Jadi kita kena beri yang setimpal, jangan hampakan mereka.

“Begitu juga dalam lakonan. Katanya, Allah yang beri bakat ini, bukan semua orang ada aura yang sama. Jadi gunakan sebaik mungkin dan terima tawaran yang datang,” katanya.

Nasihat arwah bapanya itu juga menjadi prinsip yang dipegang Ziana sepanjang mengharungi perjalanan seni yang penuh cabaran.

“Walaupun arwah sudah tiada, nasihatnya tetap tersemat dalam ingatan. Sampai hari ini saya masih rasa abah sentiasa ada. Itu yang membuatkan saya kuat untuk terus melangkah ke hadapan,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN