Sarang pelacur warga asing diserbu, kaut untung hingga RM600 sehari

Sarang pelacur warga asing diserbu, kaut untung hingga RM600 sehari

ANTARA warga asing ditahan JIM di kawasan Klang Sentral, Selangor. - GAMBAR JIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Berselindung di sebalik nama syarikat pengurusan hartanah dan import eksport, sebuah rumah kedai tiga tingkat yang menjadi sarang pelacur warga asing di kawasan Klang Sentral, Selangor diserbu Jabatan Imigresen (JIM) semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shabran berkata, sarang pelacuran ini diuruskan oleh seorang lelaki warganegara Bangladesh yang bertindak sebagai ‘Kapten’ atau penjaga premis.

Katanya, sasaran mereka adalah dalam kalangan warga asing yang berada di dalam kawasan berhampiran lokasi tersebut.

“Salah seorang pelanggan warga asing yang ditahan mengaku membayar sebanyak RM50 hingga RM80 kepada ‘Kapten’ bagi setiap sesi perkhidmatan seks yang ditawarkan.

“Dianggarkan jumlah keuntungan yang diperoleh setiap wanita warga asing tersebut adalah sebanyak RM400 hingga RM600 sehari bergantung kepada jumlah pelanggan.

“Siasatan awal mendapati ‘Kapten’ telah diupah untuk menjalankan kegiatan tidak bermoral ini oleh seorang lelaki warganegara tempatan yang dikenali sebagai ‘Kevin’,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zakaria berkata, seramai 21 individu terdiri daripada sembilan lelaki dan sembilan perempuan warganegara asing diperiksa selain seorang lelaki dan dua kanak-kanak warga tempatan dalam operasi itu.

Daripada jumlah itu, seramai lapan lelaki warganegara Bangladesh dan sembilan perempuan warganegara Vietnam berumur di antara 21 hingga 32 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tinggal lebih masa dan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

“Kesemua yang ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Per.39(b) Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

JIM turut mengeluarkan satu saman kepada saksi terhadap salah seorang pelanggan di lokasi tersebut.

Katanya, modus operandi kegiatan tidak bermoral tersebut adalah dengan menyediakan tempat penginapan bagi wanita warganegara asing ini menjalankan kegiatan tidak bermoral ini.

Jelas beliau, hasil penggeledahan dalam setiap bilik wanita turut menemui sebilangan besar alatan untuk menjalankan kegiatan seks seperti kondom dan gel pelincir pelbagai jenama.

“Kesemua warga asing tersebut ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 dan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“JIM tidak akan berkompromi terhadap warga asing yang tinggal secara haram, tinggal lebih masa dan menyalah guna pas di negara ini. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN