Sam, Woody 'turun padang' bantu siasatan forensik kebakaran

Sam, Woody ‘turun padang’ bantu siasatan forensik kebakaran

SALAH seekor daripada anjing pengesan terlatih dari unit K9 iaitu Sam dikerah untuk membantu siasatan forensik kebakaran susulan tragedi yang mengorbankan dua nyawa di Taman Rathna, Butterworth, Pulau Pinang semalam.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Dua anjing pengesan terlatih dari Unit Anjing Pengesan (K9) milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini dikerah bagi membantu siasatan forensik susulan tragedi kebakaran yang mengorbankan dua nyawa di sebuah rumah di Taman Rathna di sini, semalam.

Pengarah JBPM Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah, berkata, kedua-dua anjing tersebut yang dikenali sebagai Sam dan Woody tiba di lokasi kira-kira pukul 10 pagi tadi dengan tumpuan pemeriksaan adalah untuk mengenal pasti titik permulaan api melalui analisis forensik terperinci.

“Kehadiran unit K9 ini bukan petunjuk wujudnya unsur khianat. Sebaliknya, ia merupakan daripada sebahagian ketetapan dalam setiap siasatan kebakaran.

“Untuk pengetahuan, anjing-anjing ini ada fokus setiap kali operasi dan ia akan diturunkan secara berpasangan dengan seekor akan bertindak untuk mencari unsur (punca) manakala seekor lagi untuk tujuan pengesahan,” katanya di sini, hari ini.

Ditanya mengenai punca sebenar kebakaran, Mohamad Shoki bagaimanapun menegaskan bahawa keputusan sebenar hanya boleh diperoleh selepas ujian makmal dilakukan iaitu setelah siasatan di lokasi selesai sepenuhnya.

Dalam kejadian pukul 9.41 pagi semalam, Hayani Yaakob, 50-an dan anak angkatnya yang dikenali sebagai Andra, lima tahun dijumpai dalam keadaan rentung di bahagian ruang tamu berhampiran pintu keluar utama rumah terbabit.

Sementara itu, anak kepada Hayani iaitu Daniel Quyum Kamarozlan, 20-an yang ditemui di bahagian dapur rumah tersebut pula cedera akibat dihempap bumbung yang runtuh dalam kebakaran berkenaan.

Difahamkan, urusan bedah siasat terhadap kedua-dua mangsa yang rentung itu dijalankan di Hospital Kepala Batas (HKB) dekat sini, bermula pagi tadi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN