Risau ‘pancit’ ketika konsert, Adam daki 13 tingkat kukuhkan stamina - Utusan Malaysia

Risau ‘pancit’ ketika konsert, Adam daki 13 tingkat kukuhkan stamina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Adam, mengakui wujud kebimbangan sekiranya gagal memberikan persembahan terbaik melibatkan nyanyian dan tarian pada Konsert Tukang Gempak Adam yang dijadual berlangsung pada bulan hadapan.

Bagi memastikan dirinya benar-benar bersedia, Adam atau  Mohd. Aizam Mat Saman, 42, kini giat meningkatkan kecergasan dengan mendaki tangga sehingga 13 tingkat, selain menjalani latihan intensif melibatkan vokal dan tarian.

“Stamina memang paling penting. Ketika membuat persembahan di Sabah baru-baru ini, banyak perkara tidak dapat dilakukan kerana stamina tidak cukup kuat. Jadi sebaik pulang, saya terus ambil langkah untuk stabilkan nyanyian dan tenaga sebab bernyanyi sambil menari bukan perkara mudah.

“Risau juga kalau ‘pancit’. Sebab itu saya jadikan rutin naik tangga 11 hingga 13 tingkat setiap hari selama tiga pusingan. Berat badan pun turun dengan cepat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Menurut bekas peserta Akademi Fantasia musim kedua itu, amalan tersebut dilakukan setiap petang dan memberi kesan ketara terhadap penurunan berat badannya.

“Berat badan sangat memainkan peranan untuk kemampuan menyanyi dan menari. Alhamdulillah, saya sudah hilang kira-kira 11 kilogram, namun belum cukup. Saya sasarkan turun lagi enam kilogram sebelum konsert.

“Sekarang berat saya 84 kilogram berbanding 95 kilogram sebelum ini,” ujarnya.

Mengulas tentang perkembangan jualan tiket, Adam mengakui sambutan masih perlahan namun tetap optimis keadaan akan berubah menjelang tarikh konsert, selain berjanji memberikan persembahan yang memukau.

“Saya akan bawakan lagu-lagu popular seperti Haruskah, Kau Tak Tahu, Jatuh, Terhempas di Pasaran, Benar-Benar dan Joget Lambak.

“Selain itu, saya juga akan menunaikan permintaan peminat KRU dengan menyanyikan lagu yang tidak sempat dipersembahkan ketika konsert GenKRU tempoh hari,” katanya.

Konsert Tukang Gempak Adam dijadual berlangsung di Galaxy Banquet Hall, Kuala Lumpur pada 24 Januari 2026. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN