Remaja 16 tahun positif dadah ditahan, 30 motosikal disita - Utusan Malaysia

Remaja 16 tahun positif dadah ditahan, 30 motosikal disita

SEBAHAGIAN individu yang ditahan dalam Op Samseng Bersepadu Samseng Jalanan di Jalan Pasir Putih, berhampiran Station 18 di Ipoh semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang remaja berusia 16 tahun antara 11 lelaki yang ditahan selepas didapati positif dadah dalam Op Bersepadu Samseng Jalanan di Jalan Pasir Putih, berhampiran Station 18 di sini, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, kesemua suspek itu ditahan selepas pemeriksaan dijalankan terhadap seramai 335 orang penunggang dan pemandu kenderaan berusia antara 15 hingga 42 tahun.

Katanya, siasatan terhadap kesemua tangkapan dijalankan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan 1998).

“Sepanjang operasi bersepadu ini dilaksanakan, sebanyak 115 motosikal dan 82 kereta ditahan untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan, tindakan sitaan diambil terhadap 30 motosikal kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan (APJ) 1987 (Akta 333),” katanya.

Menurut beliau, dalam operasi sama, seorang lelaki ditahan di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987 kerana menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya.

Katanya, sebanyak 158 saman trafik dan notis Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dikeluarkan dalam operasi ini atas pelbagai kesalahan selain 11 kompuan dan notis pemeriksaan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Daripada 335 individu yang diperiksa dalam operasi ini, terdapat dalam kalangan pelajar sekolah menengah dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Operasi bersepadu ini akan terus dilaksanakan bagi memperkukuh penguatkuasaan terhadap samseng jalanan sekali gus mengurangkan kemalangan dan jenayah jalan raya di negeri ini,” katanya.

Operasi bersepadu bermula pukul 12 tengah malam hingga 12 tengah hari itu disertai Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Perak bersama JPJ, JAS dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN