REE berpaksi kepentingan rakyat, kelestarian ekonomi negeri

REE berpaksi kepentingan rakyat, kelestarian ekonomi negeri

Saarani Mohamad dalam sesi pengulungan pada Mesyuarat Ketiga, Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak Yang ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh semalam. -UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perjanjian perdagangan yang melibatkan sumber mineral strategik negeri termasuk unsur nadir bumi (REE) di Perak mesti berpaksikan kepentingan rakyat dan kelestarian ekonomi negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang dimeterai dengan Amerika Syarikat (AS) khususnya yang menyentuh sektor REE adalah kerangka perdagangan antara kedua-dua negara, dan bukan perkongsian eksklusif.

Menurutnya, oleh itu, walaupun ART membuka ruang perdagangan dengan Amerika Syarikat, ia tidak menghalang Malaysia daripada terus berdagang dengan pasaran antarabangsa yang lain.

“Kerajaan Negeri Perak teguh dengan pendirian bahawa sebarang perjanjian perdagangan yang melibatkan sumber mineral strategik negeri termasuk REE, mestilah berpaksikan kepentingan rakyat dan kelestarian ekonomi negeri.

“Kerajaan Negeri berpendirian bahawa penglibatan negara tersebut adalah terhad kepada peranan sebagai rakan dagang dan tidak melibatkan kawalan langsung ke atas pengeluaran REE di Perak.

“Walaupun rundingan perdagangan dua hala ini diuruskan di peringkat Persekutuan melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta kementerian berkaitan, kerajaan Negeri dari masa ke masa akan merujuk kepada saluran rasmi berhubung sebarang implikasi langsung terhadap sektor REE negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Belanjawan Perak 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke15, di sini semalam.

Saarani berkata, terma kontrak perdagangan antarabangsa ART itu adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, namun dalam konteks negeri Perak, royalti mineral ditentukan di bawah Enakmen Mineral Perak 2003.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa memastikan ketelusan serta pematuhan undang-undang, termasuk pecahan royalti bagi pembangunan negeri, sokongan industri hiliran, dan pelaburan tempatan.

“Dari segi pasaran dan harga pula, ART tidak memberikan hak eksklusif kepada Amerika Syarikat. Malaysia masih bebas memasarkan REE kepada pembeli lain di pasaran antarabangsa.

“Kerajaan Negeri akan memastikan REE Perak diperdagangkan secara telus, adil, dan kompetitif, dengan kepelbagaian pasaran dijadikan strategi utama bagi mengurangkan kebergantungan kepada mana-mana negara tunggal,” katanya.

Saarani berkata, dari perspektif undang-undang, ART adalah perjanjian antarabangsa yang memerlukan mandat Jemaah Menteri di peringkat Persekutuan.

Menurutnya, namun permit dan lesen lombong REE kekal di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri Perak, termasuk kuasa mengeluarkan lesen mencari gali, pajakan melombong, dan pengurusan royalti.

Katanya, kuasa kerajaan Persekutuan dan negeri juga diperkuatkan melalui Akta Pembangunan Mineral 1994 dan Enakmen Mineral Perak 2003, bagi memastikan pengurusan sumber mineral dilakukan secara strategik, teratur dan berstruktur.

“Sekiranya dilihat dari sudut yang positif, pelaksanaan ART berpotensi membuka ruang kepada negeri Perak untuk memajukan industri REE melalui pemindahan teknologi, kemasukan pelaburan berkualiti tinggi, serta penjanaan nilai tambah di dalam negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN