PETALING JAYA: Penggunaan skim Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) dijangka melonjak didorong perayaan tahun baharu serta promosi hujung tahun yang rancak.
Menurut Pensyarah Kanan, Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, UiTM, Dr. Mohamad Idham Md. Razak, ini akan mendorong pengguna terutamanya golongan muda dan isi rumah berpendapatan sederhana, memilih BNPL bagi menambah kuasa beli tanpa perlu membayar secara penuh.
“Sikap ini dipacu oleh kemudahan teknologi, penyertaan pelbagai peniaga dalam platform BNPL serta persepsi bahawa caj faedah atau kos ditekan rendah atau tiada kos,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, penggunaan BNPL sering meningkat semasa promosi besar seperti 11.11, 12.12, Black Friday dan Cyber Monday, selain keperluan membeli hadiah atau barangan perayaan.
“Walaupun ia memberi fleksibiliti pembayaran, pengguna perlu berhati-hati dengan potensi lebihan perbelanjaan dan beban hutang jika tidak dirancang dengan baik,” katanya.
Sementara itu, kajian Vodus Consumer Sentiment Study 2025 mendapati keyakinan rakyat Malaysia terhadap masa depan kewangan semakin menurun, sekali gus mempengaruhi tabiat perbelanjaan harian.
Kajian nasional terhadap 10,673 orang dewasa itu menunjukkan kebimbangan terhadap bajet, penggunaan kredit dan perancangan persaraan meningkat berbanding tahun lepas.
Hanya 44 peratus responden merasa bersedia untuk persaraan, manakala keyakinan dalam perancangan kewangan jangka panjang terus menurun.
Apabila keyakinan merosot, isi rumah mula memberi keutamaan kepada perbelanjaan asas seperti makanan, utiliti dan perumahan, dan mengurangkan perbelanjaan bukan keperluan.
Pengasas Vodus Research, Dr. Kelvin Goh berkata, corak ini menunjukkan rakyat Malaysia menyesuaikan diri dengan ketidaktentuan kewangan dengan menumpukan perhatian kepada keperluan asas dan menunda perbelanjaan bukan keperluan.
“Perubahan ini kurang didorong oleh pilihan, sebaliknya oleh keperluan untuk mengurus risiko,” katanya.
Kajian itu juga mendapati tekanan kewangan meningkat dalam beberapa kumpulan demografi, termasuk responden berketurunan Cina, berumur 35 hingga 44 tahun, serta penduduk Pantai Timur.
Walaupun ramai yang bimbang tentang kewangan, majoriti terus menyalurkan sebahagian besar pendapatan kepada keperluan harian.
Disiplin perbelanjaan masih kukuh dengan hampir 45 peratus mengelak pembelian di luar kemampuan dan 34 peratus memilih menabung dahulu sebelum membeli.
Namun, penggunaan BNPL yang semakin meningkat menimbulkan kebimbangan, kerana mereka yang sudah berada di bawah tekanan kewangan berisiko menambah beban hutang.
Kajian turut menunjukkan 65 peratus rakyat Malaysia bebas hutang atau berhutang kurang RM50,000, dengan wanita lebih cenderung bebas hutang berbanding lelaki.
Isi rumah bandar di kawasan tengah merekodkan kadar pinjaman lebih tinggi, manakala penduduk Sabah, Sarawak dan Pantai Timur menunjukkan kadar bebas hutang lebih tinggi.
Tabiat menabung turut mempengaruhi persepsi rakyat Malaysia terhadap kesejahteraan kewangan mereka.
Empat daripada lima responden yang menabung lebih 11 peratus daripada pendapatan merasa lebih baik berbanding tahun lepas, berbanding separuh responden yang menabung kurang 10 peratus.
Lebih 40 peratus masih menghadapi kesukaran menampung perbelanjaan asas, terutama isi rumah berpendapatan rendah dan golongan muda.
Mengulas lanjut, Goh berkata, orang ramai sedang menyesuaikan diri dengan kenaikan kos dengan merancang secara teliti dan mengelak komitmen tidak perlu.
“Namun, jurang antara kebolehsuaian jangka pendek dan kesiapsiagaan jangka panjang semakin melebar. Memperkukuh keyakinan persaraan memerlukan akses lebih baik kepada pendidikan kewangan dan alat perancangan,” katanya. –UTUSAN











