Projek RTB Bagan Datuk dilaksanakan suku ketiga 2026 - Utusan Malaysia

Projek RTB Bagan Datuk dilaksanakan suku ketiga 2026

AHMAD Zahid Hamidi (kanan) mendengar taklimat mengenai Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bagan Datuk ketika lawatan ke Kampung Sungai Balai Baroh di Bagan Datuk hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bagan Datuk bernilai RM87.6 juta dijadualkan mula dilaksanakan pada suku ketiga tahun depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, RTB Fasa Pertama itu merangkumi kerja-kerja penambahbaikan sistem saliran di Tebuk Semani sepanjang 0.65 Kilometer (KM), Parit 8 Barat sepanjang 1.25KM dan pembinaan kolam takungan banjir di Sungai Balai Baroh.

Katanya, kerja-kerja yang dijalankan itu merupakan langkah jangka masa panjang bagi menangani masalah banjir di daerah berkenaan.

“Saya telah mengadakan lawatan ke Kampung Sungai Balai Baroh untuk mendengar taklimat berkaitan RTB Bagan Datuk.

“Berdasarkan penjelasan yang diberikan, isu banjir di Bagan Datuk berpunca daripada beberapa faktor utama, antaranya taburan hujan yang tinggi dan keadaan lebih 1,900 lintasan air (culvert) di kawasan berkenaan.

“Selain itu, sistem saliran sedia ada yang tidak seragam serta faktor topografi turut menyebabkan takungan air berlaku di beberapa lokasi sehingga mengakibatkan berlakunya banjir,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Kampung Sungai Balai Baroh di sini hari ini.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid menegaskan, beliau turut melihat keperluan langkah jangka pendek untuk dilaksanakan segera sementara menunggu pelaksanaan projek berskala besar itu.

“Antara langkah yang perlu diberi perhatian ialah memperkukuh kolaborasi antara agensi, khususnya dalam usaha menambah baik lintasan air dan parit-parit sedia ada bagi mengurangkan risiko banjir dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam pada itu, selain RTB, beliau turut meninjau perkembangan Pembangunan Pusat Data di Bagan Datuk yang merupakan hasil kerjasama strategik antara Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), MARA Inc, Silver Streams dan Felcra.

Menurut beliau, pusat data ini diklasifikasikan sebagai Tier IV iaitu antara pusat data terbesar dan berkapasiti tinggi di Malaysia.

“Insya-Allah, pembangunan pusat data ini bakal membawa manfaat pelaburan, limpahan ekonomi serta peluang pekerjaan kepada penduduk Bagan Datuk.

“Fasa pertama berkapasiti 10MW dijangka siap dan mula beroperasi pada pertengahan tahun 2027 manakala fasa kedua berkapasiti 25MW akan disiapkan pada tahun berikutnya,” ujar beliau.

Tambah Ahmad Zahid, beliau berharap kedua-dua projek tersebut dapat dilaksanakan dan disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan bagi memberi manfaat langsung kepada rakyat Bagan Datuk. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN