PETALING JAYA: Perkhidmatan e-panggilan dari Eropah, Bolt mencatat pertumbuhan memberangsangkan, melonjak 40 peratus suku ke suku selepas genap setahun pelancarannya sejak akhir tahun lalu.
Prestasi cemerlang itu mencerminkan peningkatan permintaan pengguna terhadap pilihan mobiliti yang mengimbangi kemampuan, kualiti dan keadilan.
Pengurus Besar Bolt Malaysia, Afzan Lutfi berkata, matlamat awalnya bukan sekadar wujud sebagai satu lagi aplikasi e-panggilan, malah mahu menawarkan alternatif yang lebih adil serta fokus telus kepada pengguna.
“Selepas setahun, sambutan yang kami terima daripada pemandu dan penumpang membuktikan bahawa rakyat Malaysia bersedia memilih pengangkutan bandar yang lebih baik dan saksama.
“Pertumbuhan Bolt dipacu oleh model yang mengutamakan pemandu dengan tawaran komisen kompetitif dan peluang pendapatan yang fleksibel,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Afzan, purata pertumbuhan pula direkodkan sebanyak 25 peratus untuk rakan pemandu aktif, membuktikan sokongan padu penumpang serta pemandu terhadap model perniagaan Bolt.
Pada masa sama, katanya, perkhidmatan berkenaan turut memperkenalkan beberapa inovasi yang lengkap dengan fungsi tertentu sebagai usaha memastikan keselamatan pengguna secara maksimum.
“Bolt Executive direka bagi pelanggan korporat dan pengguna yang mahukan perjalanan premium, manakala ‘Bolt Business’ menjadi pilihan penyelesaian perjalan korporat.
“Bukan itu sahaja, kami turut mewujudkan ‘Flight Tracking’ yang berfungsi menyelaraskan waktu jemputan secara automatik untuk penerbangan lewat atau dibatalkan.
“Untuk pengangkutan seisi keluarga pula, Bolt menambah ciri ‘Family Profile’ yang memudahkan pengurusan beberapa penumpang di bawah satu akaun,” katanya.
Sementara itu, Bolt juga menampilkan ciri-ciri yang memberi keistimewaan bagi rakan pemandu yang berdaftar di bawahnya.
Ini termasuk pengenalan PIN Matching yang mengoptimumkan proses verifikasi pemandu-penumpang termasuk ciri SOS, ‘Pengesanan Anomali Perjalanan,’ Rakaman Audio dan Tip Perkongsian.
Selain itu, ciri ‘Instant Early Cash Out Bolt’ membolehkan rakan pemandu mengeluarkan pendapatan mereka pada bila-bila masa serta program ‘Car Branding’ yang menjana pendapatan tambahan bagi pemandu melalui paparan iklan pada kenderaan.
“Dengan prestasi semasa yang memberangsangkan, Bolt sedia berkembang ke bandar-bandar baharu seluruh negara menjelang 2026.
“Fokus kami kini adalah untuk mengembangkan lagi prestasi ini secara bertanggungjawab, selain terus menawarkan perkhidmatan dan inovasi bernilai dan berimpak tinggi kepada para pengguna,” katanya. – UTUSAN










