Poster Duyung berkualiti rendah sekadar gimik - Razak Mohaideen

Poster Duyung berkualiti rendah sekadar gimik – Razak Mohaideen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penerbit dan pengarah filem Duyung: Legenda Aurora, Prof. Madya Datuk Dr. A. Razak Mohaideen menjelaskan poster berkualiti rendah yang sebelum ini menjadi sasaran kecaman warga maya hanyalah satu gimik pemasaran bagi menarik perhatian umum.

Menurutnya, poster rasmi filem berkenaan dengan rekaan grafik yang lebih berkualiti akan dikeluarkan oleh pihak penerbit dalam masa terdekat.

“Poster itu memang sekadar gimik. Kami mahu penonton lebih peka dan memberi perhatian. Matlamat kami adalah untuk memastikan rakyat Malaysia menonton dan bercakap mengenai filem ini.

“Kalau poster itu bagus, mungkin hanya satu dua orang yang memuji. Namun, untuk netizen yang mahu mengecam, jumlahnya ramai. Jadi, kita gunakan pendekatan ‘reverse psychology’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada tayangan perdana Duyung: Legenda Aurora di GSC Lalaport Bukit Bintang, di sini, malam tadi.

Razak menegaskan, pihak penerbit iaitu KRU Studios dan Primeworks Studios (PWS) sememangnya telah memaklumkan bahawa poster baharu akan dilancarkan dan poster terdahulu hanyalah sebagai ‘umpan’ pemasaran.

Dalam pada itu, beliau berpendapat dirinya sebagai pengarah dan penerbit bersama tidak seharusnya dipersalahkan atas kecaman terhadap poster berkenaan kerana keputusan tersebut dibuat oleh pasukan pemasaran.

“Dalam konsep perniagaan industri perfileman, tugas pengarah adalah menghasilkan filem. Poster dan teaser bukan dihasilkan oleh pengarah.

“Bagi mana-mana filem sekalipun, pengarah tidak terbabit dalam urusan poster. Ia merupakan tanggungjawab bahagian pemasaran yang dilantik oleh penerbit eksekutif, namun perkara ini masih kurang difahami ramai,” katanya.

Mengulas lanjut, Razak mengakui sudah berlapang dada menerima kritikan meskipun filem tersebut belum ditayangkan.

“Mereka yang faham bisnes perfileman akan mengerti. Sama ada di Hollywood atau Bollywood, semuanya mempunyai pasukan pemasaran tersendiri.

“Saya memilih untuk berdiam diri kerana mereka yang berilmu akan memahami maksud sebenar di sebalik strategi ini.

“Kita pun tak boleh jadi ‘sebodoh’ orang yang bercakap seperti itu. Jadi, lebih baik saya diam sahaja sebab orang yang faham dan berilmu, dia akan faham maksud sebenar di sebalik itu.

“Orang yang tak berilmu pula akan mengiyakan perkara sebegitu. Jadi, sebenarnya kebodohan ditunjuk oleh orang yang tak berilmu,” katanya.

Sebelum ini, poster Duyung: Legenda Aurora menerima pelbagai kritikan daripada warga maya yang mendakwa rekaan grafiknya berkualiti rendah, suram, serabut serta penggunaan tona warna yang kurang menyerlah.

Duyung: Legenda Aurora merupakan sekuel kepada filem Duyung yang ditayangkan pada 2008, tampil dengan penceritaan baharu yang lebih moden serta visual yang lebih segar.

Diterbitkan oleh KRU Studios dan 8 Bit Studio dengan Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran rasmi, filem komedi fantasi itu dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 25 Disember ini.

Filem berkenaan menampilkan barisan pelakon asal seperti Maya Karin, Saiful Apek, Yasmin Hani dan Yassin Yahya, selain diserikan dengan kehadiran pelakon baharu antaranya Anna Jobling dan Ayie Floor88. Turut membuat penampilan khas ialah Datuk Yusry Abdul Halim serta kumpulan Zero yang dianggotai Syaiful, Sharif dan Atu. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN