Port Dickson Surfcasting Challenge 2025 bakal tarik kaki pancing

Port Dickson Surfcasting Challenge 2025 bakal tarik kaki pancing ke Pengkalan Sungai Sekawang

port dickson
Mohd Faizal Ramli menunjukkan lokasi Surfcasting Challenge Port Dickson 2025 akan berlangsung pada 28 Disember, Ahad ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
PORT DICKSON: Lokasi pantai yang kaya dengan biodiversiti dan belum tercemar, Laut Pengkalan Sungai Sekawang, Batu 15 di sini bakal menjadi tumpuan pemancing dan pelancong apabila pertandingan memancing Surfcasting Challenge Port Dickson 2025 akan berlangsung pada 28 Disember, iaitu Ahad ini.
Pertandingan memancing yang bermula jam 11.00 pagi hingga 3.00 petang itu turut menjadi medan promosi sempena mendapat sokongan Tourism Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 (Visit Negeri Sembilan 2026)
Lokasi strategik Batu 15 yang terletak di pesisir pantai Port Dickson ini menawarkan suasana tenang, landskap semula jadi yang memukau serta perairan yang menjadi habitat pelbagai spesies ikan seperti Siakap, Senangin, Pari, Gelama, Kerapu, Sembilang dan Duri.
Kombinasi dasar berpasir, berlumpur serta struktur berbatu menjadikan kawasan ini sebagai salah satu lubuk utama pemancing pantai di negeri ini dan telah mula menarik kehadiran pemancing dari seluruh negara.
Menurut Exco Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital Negeri Sembilan, Datuk Mohd Faizal Ramli, pertandingan ini merupakan antara inisiatif terbaik dalam memperkenalkan destinasi tersembunyi kepada umum sebagai sebahagian daripada pelan promosi pelancongan negeri.
“Penganjuran pertandingan di lokasi seperti Sungai Sekawang ini amat bertepatan dalam konteks Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026. Ia membuka peluang kepada pembangunan ekonomi setempat dan memperkenalkan kawasan luar bandar sebagai produk pelancongan berasaskan alam,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan negeri giat mengenal pasti lokasi-lokasi ‘permata tersembunyi’ seperti Batu 15 untuk diketengahkan melalui kempen Visit NS 2026 yang memberi penekanan kepada ekopelancongan, warisan dan rekreasi keluarga.
“Pantai yang tenang, komuniti mesra, serta kekayaan hasil laut menjadikan tempat ini sesuai bukan sahaja untuk memancing, tetapi juga perkhemahan, fotografi dan pelancongan berkonsepkan alam semula jadi,” jelasnya.
Pertandingan ini dianjurkan bersama oleh ADUN Linggi dan Nadi Media Events dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Sungai Sekawang dan disokong oleh Tourism Malaysia.
Lebih RM25,000 wang tunai ditawarkan kepada pemenang dimana juara pertandingan akan membawa pulang RM10,000, tempat kedua RM3,000 dan ketiga RM1,000.
Tempat ke-4 hingga ke-10 akan menerima hadiah tunai RM200, tempat ke-11 hingga ke-20 RM150, dan tempat ke-21 hingga ke-100 akan menerima RM110 setiap seorang.
Penyertaan dibuka dengan yuran hanya RM80, membolehkan peserta menggunakan satu joran dan dua mata kail. Pendaftaran akan dibuka sabtu ini puku 3 petang hingga pukul 7 malam dan dbibuka eskonya pukul 8.30 pagi dilokasi pertandingan.
Sebanyak 500 helai T-shirt edisi khas akan diberikan kepada peserta terawal yang mendaftar, di samping hadiah cabutan bertuah menarik termasuk dua unit televisyen dan pelbagai barangan memancing tajaan penaja.
Penganjur menyasarkan lebih 500 peserta menyertai acara ini sekali gus memperkukuh kedudukan Negeri Sembilan sebagai destinasi pelancongan memancing terbaik.
Menurut Faisal , pertandingan ini bukan sahaja menguji kemahiran pemancing, malah menjadi medium memperkenalkan Sungai Sekawang, Batu 15 sebagai lokasi pelancongan baharu yang patut diterokai.
Orang ramai yang berminat boleh menghubungi nombor berikut untuk pendaftaran dan maklumat lanjut: 013-2667011, 012-3554946 atau 012-2846811.
Dengan gabungan hadiah menarik, promosi pelancongan negeri dan keindahan alam semula jadi, Port Dickson Surfcasting Challenge 2025 bukan sekadar acara memancing – ia adalah sebahagian daripada langkah strategik melonjakkan pelancongan Negeri Sembilan menjelang 2026. – UTUSAN
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN