PETALING JAYA: AirAsia memperkenalkan pembaharuan dalam polisi pemakaian seragam yang kini membenarkan semua kru kabin wanita memilih untuk memakai hijab semasa bertugas.
Pembaharuan polisi itu selaras dengan budaya kerja bagi setiap Allstar merasa yakin, selesa dan bangga mewakili syarikat penerbangan di mana sahaja mereka terbang.
Ketua Pegawai Eksekutif, Bo Lingam berkata, perubahan itu mencerminkan pertumbuhan AirAsia sebagai syarikat penerbangan global yang disokong kepelbagaian tenaga kerja.
“Seragam kami sentiasa mencerminkan profesionalisme, keselamatan dan keselesaan dan evolusi ini membina asas tersebut dengan memberikan keyakinan kepada kakitangan kami selaras dengan kepercayaan mereka.
“Sebelum ini, kru kabin AirAsia telah menggunakan hijab sebagai sebahagian daripada operasi di beberapa laluan terpilih, seperti Jeddah di mana ia diwajibkan oleh peraturan tempatan.
“Kini, kru kabin wanita boleh memilih untuk memakainya untuk memastikan keseragaman di seluruh rangkaian syarikat terjaga bersama identiti penjenamaan professional,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Kru Kabin, Suhaila Hassan berkata, dasar baharu itu memperkukuh semangat pelbagai budaya yang menjadi elemen asas AirAsia.
“Allstars kami berasal dari pelbagai latar belakang, budaya dan kepercayaan, namun tetap bersatu dengan komitmen bersama untuk memberikan perkhidmatan dan penjagaan bertaraf dunia kepada para tetamu.
“Kami akan terus mendapatkan maklum balas kru dan bekerjasama dalam reka bentuk terperinci sebelum pelaksanaannya sepenuhnya. Kami menyasarkan permulaan pada Ramadan 2026,” katanya.
Pada masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tony Fernandes, turut menegaskan bahawa pendapat dan kepercayaan kru sentiasa menjadi keutamaan.
Katanya, sekiranya ada perkara yang dibangkitkan oleh kru kabin, pihak pengurusan akan meneliti dan menilai cadangan tersebut sebagai tanda menghormati perbezaan pandangan antara satu sama lain.
“Pakaian seragam merah ikonik AirAsia dikekalkan dengan pilihan hijab dan seluar yang direka secara profesional, menggunakan reka bentuk sama seperti kru di laluan Jeddah, bagi memastikan keselesaan, keselamatan dan konsistensi jenama di seluruh rangkaian,” katanya. – UTUSAN









