Polis tahan suspek kes tetak bendahari surau - Utusan Malaysia

Polis tahan suspek kes tetak bendahari surau

MANGSA yang cedera parah diserang lelaki menggunakan senjata tajam diberikan rawatan dalam kejadian di Taiping hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Polis menahan seorang lelaki yang merupakan suspek kejadian seorang bendahari surau cedera parah akibat diserang menggunakan senjata tajam di Surau Nurul Hidayah, Kampung Bukit Jana, Kamunting di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.13 petang itu, mangsa, Normuda Mohd Noor, 68, cedera parah selepas diserang seorang lelaki bersenjata tajam yang meluru masuk ke bahagian dapur surau sebelum menetak mangsa di bahagian kepala dan tangan.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa berada di dapur surau berkenaan sebelum suspek berusia 55 tahun yang juga penduduk kampung sama menyerang mangsa.

Akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan tangan.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai tidak berpuas hati terhadap mangsa.

Menurutnya, suspek mempunyai rekod sebagai pesakit psikiatri yang pernah mendapatkan rawatan di Hospital Taiping.

“Suspek datang secara tiba-tiba dan menyerang mangsa menggunakan senjata tajam. Mangsa kini dirawat di Hospital Taiping.

“Berdasarkan semakan, suspek turut mempunyai 16 rekod lampau membabitkan jenayah dan narkotik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Nasir, tindakan pantas Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping berjaya menahan suspek pada pukul 4.30 petang tadi di kawasan Kamunting, kira-kira sejam selepas kejadian.

“Hasil saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN