KUANTAN: Perikatan Nasional (PN) tidak meletakkan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, sebagai langkah menghormati suasana politik semasa di Sabah.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan itu dibuat sebulat suara dalam Mesyuarat Pimpinan Tertinggi PN yang berlangsung di Kuala Lumpur, semalam.
“Kita ambil pendekatan berhemah. Keputusan ini mengambil kira realiti politik Sabah dan menghormati keadaan yang berlaku,” katanya ketika ditemui selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Semalam, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus memaklumkan bahawa mesyuarat khas urusan PRK bagi kedua-dua kerusi itu diadakan pada 16 Disember ini.
Kekosongan luar jangka kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag berlaku berikutan pemergian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang meninggal dunia pada usia 66 tahun di sebuah hospital swasta di Sabah, pada 1.46 pagi, 5 Disember lalu.
Allahyarham meninggal dunia kurang seminggu selepas memenangi penggal kedua sebagai ADUN Lamag.
Pada Pilihan Raya Negeri Sabah, 29 November lalu, Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah mempertahan DUN Lamag dengan majoriti 153 undi dalam saingan enam penjuru.
Dalam arena politik nasional, beliau antara tokoh paling berpengalaman, memenangi kerusi Parlimen Kinabatangan sejak PRU-10 pada 1999 dan terus berkhidmat selama enam penggal berturut-turut, menjadikannya antara Ahli Parlimen paling lama berkhidmat di Sabah. – UTUSAN










