PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memutuskan senarai menteri dan timbalan menteri Kerajaan Madani kelak, selepas proses pertimbangan yang cermat dan berhemah.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan, ini termasuk pemilihan senarai barisan Kabinet yang benar-benar berlandaskan kepentingan rakyat serta hala tuju reformasi negara.
Pada masa sama, Anwar menyambut baik pelantikan semula tiga Ahli Dewan Negara iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar bagi penggal kedua yang berkuat kuasa hari ini.
“Pelantikan ini membolehkan mereka meneruskan tugasan mustahak demi kesinambungan dasar, tatakelola dan agenda reformasi negara selaras dengan gagasan Malaysia Madani,” katanya hari ini.
Terdahulu, tiga menteri Kabinet mengangkat sumpah di Dewan Negara, hari ini iaitu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.
Ketiga-tiga ahli Yang Berhormat merupakan ahli yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut peruntukan Perkara 45 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan.
Pelantikan ini adalah pelantikan semula yang berkuat kuasa mulai hari ini hingga 2 Disember 2028, selaras dengan peruntukan Perkara 45 (3) dan Perkara 45 (3A) Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN










