Permintaan hartanah sederhana, golongan muda pilih menyewa - Utusan Malaysia

Permintaan hartanah sederhana, golongan muda pilih menyewa

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Permintaan terhadap hartanah kediaman dan komersial kekal sederhana meskipun kadar dasar semalaman (OPR) rendah sebanyak 2.75 peratus, mencerminkan trend berhati-hati dalam kalangan pembeli, khususnya mereka berusia 30-an.

Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, golongan muda kini dilihat lebih cenderung memilih untuk menyewa berbanding membeli rumah sendiri, kerana beban kewangan bulanan yang lebih ringan serta ketidaktentuan ekonomi semasa. 

“Trend ini turut memberi kesan kepada segmen rumah bertanah dan ruang pejabat yang masih mencatat permintaan mendatar sejak beberapa suku tahun kebelakangan ini.

“Walaupun kadar faedah rendah sepatutnya merangsang pembelian, harga rumah yang kekal tinggi terus menjadi penghalang utama.

“Sudah tiba masanya pemaju memainkan peranan dengan menurunkan harga jualan. Setelah menikmati margin keuntungan yang tinggi antara 2018 hingga 2020, kini masa untuk mereka membantu pembeli, khususnya golongan muda yang berdepan tekanan kos sara hidup,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Dalam masa sama, beliau menyeru agar kerajaan melalui pihak berkuasa tempatan, termasuk majlis perbandaran, mengambil langkah lebih tegas dalam mengawal harga hartanah baharu bagi memastikan keseimbangan pasaran dan kemampuan pembeli kekal terjaga.

“Pasaran hartanah dijangka terus perlahan dalam jangka pendek sekiranya tiada pelarasan harga dilakukan oleh pemaju serta tiada intervensi dasar yang lebih progresif oleh kerajaan,” katanya. 

Selain itu, beliau berkata, data 2024 menunjukkan pendapatan per kapita Malaysia dianggarkan sekitar AS$12,000 atau kira-kira RM50,000 setahun, bersamaan lebih kurang RM4,167 sebulan.

“Pendapatan itu dilihat jauh daripada mencukupi untuk memiliki rumah bertanah di kawasan bandar utama,” katanya. 

Sementara itu, MBSB Research menjangkakan sektor hartanah Malaysia akan terus kembali pulih pada 2025, disokong oleh kestabilan OPR yang kekal sebanyak 2.75 peratus. 

Kata firma penyelidikan tersebut, situasi itu membantu minat pembelian rumah serta dipacu faktor kadar pinjaman yang berdaya tahan dengan ia juga tidak mengubah saranan ‘positif’ terhadap sektor berkenaan.

la merujuk data Bank Negara Malaysia (BNM) yang melaporkan permohonan pinjaman pembelian hartanah meningkat 12.2 peratus tahun ke tahun pada September 2025, selepas naik 6.9 peratus tahun ke tahun pada Ogos 2025.

“Ini menunjukkan sentimen kekal kukuh dalam kalangan pembeli rumah, menjadikan jumlah kumulatif permohonan pinjaman bagi sembilan bulan pertama 2025 meningkat kepada RM490 bilion,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN